
KUCHING – Sarawak menegaskan integriti dan tadbir urus yang baik bukan sekadar hiasan dasar, sebaliknya menjadi teras utama dalam setiap perancangan pembangunan negeri.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kemajuan infrastruktur dan ekonomi hijau tidak akan membawa makna sekiranya nilai ketelusan, akauntabiliti dan integriti tidak diterapkan secara menyeluruh dalam pelaksanaan dasar kerajaan.
“Integriti bukan semata-mata tentang penguatkuasaan, tetapi asas kepada pembangunan mampan. Tanpa integriti, segala pelan hanya tinggal retorik,” katanya ketika merasmikan Persidangan Kebangsaan Integriti dan Tadbir Urus (NCIG) 2025 di Hotel Pullman, Kuching pada Selasa.
Beliau berkata, Sarawak kini melangkah lebih jauh apabila menjadi satu-satunya negeri di Malaysia yang mempunyai undang-undang khusus berkaitan Ombudsman, melalui penggubalan Sarawak Ombudsman Ordinance 2023.
“Perundangan ini merupakan langkah bersejarah kerana ia menyediakan mekanisme rasmi dan bebas bagi rakyat menyalurkan aduan, menuntut akauntabiliti serta memastikan kerajaan sentiasa terbuka terhadap semakan dan penambahbaikan,” jelasnya.
Awang Tengah menambah, usaha memperkukuh sistem integriti turut dilaksanakan melalui penubuhan Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak (UNIONS), pelantikan Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) di semua agensi kerajaan, pelaksanaan sistem e-procurement dan latihan berstruktur untuk penjawat awam.
Menurut beliau, langkah-langkah itu membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam menginstitusikan integriti sebagai budaya pentadbiran, bukan sekadar slogan.
“Dengan adanya Ordinan Ombudsman ini, Sarawak menetapkan piawaian baharu dalam tadbir urus negeri serta menampilkan diri sebagai peneraju dalam memastikan urus tadbir yang telus dan berakauntabiliti,” katanya.
Persidangan bertemakan ‘Reimagining Governance for People, Planet and Profit’ itu menghimpunkan lebih 1,000 peserta daripada sektor kerajaan, swasta dan masyarakat sivil.
Awang Tengah turut menegaskan bahawa integriti bukan isu idealisme kosong, tetapi menyentuh soal kesejahteraan rakyat.
“Integriti bermakna memastikan murid luar bandar mendapat sekolah yang selamat, pesakit miskin mendapat rawatan adil, dan usahawan kecil diberi peluang sama rata,” katanya.
Beliau menyeru agar semua pihak baik kerajaan, swasta mahupun masyarakat terus berganding bahu memperkukuh ekosistem tadbir urus yang bersih dan berprinsip.
“Tatkala dunia berdepan krisis rasuah dan ketidaksamaan, biarlah Malaysia dan Sarawak berdiri sebagai contoh bahawa kemajuan boleh dicapai bersama integriti,” tambahnya.



