
PUTRAJAYA – Bekalan insulin manusia di fasiliti Kementerian Kesihatan (KKM) yang terjejas baru-baru ini adalah disebabkan isu pengeluaran di fasiliti pembekal tempatan.
KKM menerusi kenyataan memaklumkan bagi memastikan rawatan pesakit diabetes dapat diteruskan tanpa gangguan, kementerian itu telah mengambil beberapa pendekatan termasuk penggunaan insulin jenis analog dan terapi oral berdasarkan penilaian klinikal oleh doktor.
Katanya, daripada 41 ubat-ubatan yang digunakan untuk merawat diabetes, hanya insulin manusia yang mengalami isu bekalan.
“Oleh itu, secara keseluruhan KKM ingin menegaskan bahawa pengurusan diabetes untuk seluruh pesakit KKM adalah tidak terjejas.
“Usaha untuk mempelbagaikan sumber bekalan insulin sedang digiatkan bagi memastikan keterjaminan dan ketersediaan bekalan pada masa akan datang,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, KKM berkata, pengeluar tempatan serta pembekal dari luar negara yang berminat turut digalakkan untuk mendaftarkan produk insulin mereka dengan pihak Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) yang akan memberi keutamaan dalam proses penilaian.
Justeru itu, KKM memaklumkan pihaknya menyakini bagi jangka sederhana dan panjang, bekalan insulin akan berada pada tahap optimum.
“Untuk rekod, rawatan perubatan di Malaysia yang ditawarkan kepada penghidap diabetes adalah dalam bentuk insulin manusia, insulin jenis analog dan terapi oral iaitu bergantung kepada keperluan rawatan individu.
“KKM pada 12 Ogos lepas telah mengumumkan penambahbaikan terhadap dasar perolehan untuk memastikan keterjaminan, ketersediaan dan pulangan nilai terbaik untuk produk farmaseutikal dan peranti perubatan.
“Bagi memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara, KKM juga tidak akan berkompromi dalam isu yang mengganggu-gugat bekalan ubat-ubatan yang merupakan satu aspek penting dalam penjagaan kesihatan,” katanya.
Kata KKM, pesakit diabetes turut disarankan untuk mendapatkan konsultasi daripada doktor bagi sebarang pencerahan dari semasa ke semasa dan digalakkan mendapatkan maklumat yang tepat daripada sumber yang sahih berhubung isu kesihatan.
“Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 mendapati satu daripada enam (15.6 peratus) dewasa di Malaysia menghidap diabetes, manakala 84 peratus daripada orang berumur 18 hingga 29 tahun tidak tahu mereka menghidap diabetes.
“Sehubungan itu, orang ramai turut dinasihatkan untuk mengambil langkah proaktif dalam kawalan kesihatan kendiri selaras Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS),” katanya.





