PERTAHANAN tengah Manchester United, Harry Maguire, dilaporkan berada dalam radar kelab gergasi Arab Saudi dengan kemungkinan berhijrah ke Liga Pro Saudi seawal tahun depan.
Pemain berusia 32 tahun itu – yang menyertai United dari Leicester City pada 2019 dengan nilai 80 juta (RM454 juta) yang menjadi rekod perpindahan termahal bagi pertahanan England – bakal tamat kontrak pada Jun 2026 selepas klausa lanjutan automatik diaktifkan oleh kelab pada musim panas lalu.
Menurut laporan Mirror, dua kelab iaitu Al-Nassr yang dibarisi bekas rakan sepasukannya, Cristiano Ronaldo, serta Al-Ettifaq, berminat untuk mendapatkan khidmat bekas kapten Red Devils itu.
Bermula 1 Januari depan, Maguire bebas untuk berbincang dengan mana-mana kelab, sekali gus membuka ruang buat kelab-kelab Arab Saudi menawarkan gaji lumayan bagi memujuknya meninggalkan Old Trafford.
Maguire sebelum ini mendedahkan dia tidak diberi ruang berbincang ketika kontraknya dilanjutkan secara automatik.
“Klausa itu di tangan kelab, tiada pilihan untuk saya. Tiada sebarang perbincangan, mereka hanya mengaktifkannya. Tahun ini kontrak saya tamat pada hujung musim,” katanya pada Ogos lalu.
“Saya yakin dalam beberapa bulan akan datang, kelab akan duduk berbincang sama ada mahu melanjutkan kontrak atau sebaliknya kerana jendela perpindahan akan dibuka semula Januari nanti.
“Saya ada hala tuju sendiri, tetapi ini adalah kelab yang hebat dan satu kebodohan jika mahu keluar terlalu awal.”
Bekas pengurus, Ole Gunnar Solskjaer, pernah menyerahkan lilitan kapten kepadanya, namun status itu ditarik balik oleh Erik ten Hag pada 2023.
Malah, ketika itu Maguire hampir menyertai West Ham sebelum perpindahan gagal dimuktamadkan.
Di bawah kendalian Ruben Amorim, Maguire sempat menunjukkan kebangkitan semula, tetapi masih gagal mengekalkan tempat tetap dalam kesebelasan utama selepas Amorim lebih banyak memberi peluang kepada pertahanan muda dari Perancis, Leny Yoro, yang direkrut dari Lille.






