Kempen turun Muhyiddin, Azmin makin hangat dalam Bersatu?

PUTRAJAYA – Kempen turun Muhyiddin dan turun Azmin dikatakan mula mendapat sambutan dalam kalangan pemimpin Perikatan Nasional (PN), khususnya Bersatu berbanding kempen turun Anwar yang mulai suram serta disifatkan gagal menarik perhatian masyarakat.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Faezuddin Puad berpandangan, perkara itu berlaku susulan drama perbalahan antara kem Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalannya, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang berlaku sebelum ini.

“Terbaharu rakyat disajikan dengan pertelingkahan pasukan (Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Mohamed) Azmin Ali dan pasukan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan pula.

“Bayangkan, berapa banyak perpecahan yang sedang berlaku dalam Bersatu. Daripada tampil sebagai pembangkang yang konstruktif, pemimpin Bersatu memilih untuk saling menuduh dan menjatuhkan antara satu sama lain.

“Inilah wajah sebenar politik sempit yang langsung tidak membawa manfaat kepada rakyat. Sebagai pembangkang, Bersatu seharusnya memainkan peranan sebagai semak dan imbang, memberi idea yang lebih bernas serta menampilkan alternatif dasar kepada kerajaan,” katanya menerusi kenyataan, pada Selasa.

Namun malangnya, Faezuddin yang juga Ketua Cabang PKR Pulai memaklumkan, pembangkang pada hari ini disifatkan tidak berperanan, selain tiada hala tuju yang jelas dalam membantu kerajaan memperkasa kebajikan masyarakat awam.

“Apa yang dilihat hari ini pembangkang tiada idea, tiada hala tuju jelas dan tiada alternatif, apa yang ada hanyalah drama politik dalaman tanpa noktah.

“Sementara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan MADANI bertungkus-lumus memperkukuh ekonomi rakyat, memperluas bantuan kebajikan kepada rakyat dan menstabilkan politik negara, Bersatu pula sibuk mencipta episod baharu dalam siri perebutan kuasa,” katanya.

Terdahulu, Wan Saiful pada Isnin didakwa antara yang terlibat dalam pengumpulan akuan bersumpah (SD) melibatkan ketua-ketua bahagian Bersatu di seluruh negara bagi mengusulkan perbincangan mengenai langkah transisi kepimpinan parti kepada Hamzah.

Namun Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu menegaskan, SD yang dikumpulkan membabitkan 120 ketua bahagian parti itu bukan bertujuan untuk mendesak Muhyiddin berundur sebagai presiden.

Sebaliknya kata Wan Saiful, dokumen berkenaan hanya untuk menyokong ahli MPT memberi mandat kepada Muhyiddin menyusun pelan peralihan parti.

Selain Wan Saiful, tiga pemimpin Bersatu lain yang dipanggil ialah Ketua Bahagian Ampang, Mohd Isa Saidi; Ketua Bahagian Sepang, Datuk Suhaimi Mohd Ghazali dan Ketua Bahagian Ipoh Timor, Muhammad Fadhli Ismail.

Related Posts

PH akan teliti mesej Kongres PKR, Persidangan DAP – Fahmi

PUTRAJAYA – Pakatan Harapan (PH) akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat bagi meneliti beberapa perkara yang dibangkitkan pada Kongres Nasional PKR dan Persidangan Kebangsaan DAP. Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri…

Lebih lanjut

teruskan membaca
LDP Sandakan sedia rebut semula kepercayaan pengundi

SANDAKAN – Parti Liberal Demokratik (LDP) Sandakan menegaskan kesediaannya untuk bertanding di Parlimen Sandakan pada pilihan raya akan datang. Naib Presiden LDP merangkap Ketua Bahagian Tanjong Papat dan Elopura, Chong…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

RM1.57 bilion perkukuh pembangunan kesihatan Sabah

RM1.57 bilion perkukuh pembangunan kesihatan Sabah

PH akan teliti mesej Kongres PKR, Persidangan DAP – Fahmi

PH akan teliti mesej Kongres PKR, Persidangan DAP – Fahmi

Polis sahkan kedai emas Genting Highlands dirompak

Polis sahkan kedai emas Genting Highlands dirompak

LDP Sandakan sedia rebut semula kepercayaan pengundi

  • By Fandi
  • August 17, 2026
LDP Sandakan sedia rebut semula kepercayaan pengundi

RM57.5 bilion dalam separuh tahun, KWSP catat lonjakan 48 peratus

RM57.5 bilion dalam separuh tahun, KWSP catat lonjakan 48 peratus

MBSA sedia 300 hidangan percuma di Seksyen 24 esok

MBSA sedia 300 hidangan percuma di Seksyen 24 esok