
PUTRAJAYA – Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan terbaharu yang mengancam keselamatan Global Sumud Flotilla (GSF) dan menggesa agar laluan selamat tanpa halangan diberikan kepada peserta serta kapal yang terbabit misi itu.
Kementerian Luar menerusi satu kenyataan berkata, Malaysia menegaskan semula bahawa GSF, sebagai misi kemanusiaan aman untuk menghantar bantuan ke Gaza, adalah sah di sisi undang-undang dan sangat penting dari segi moral.
“Malaysia menggesa ancaman keganasan itu dihentikan serta-merta dan laluan selamat tanpa halangan bagi para peserta flotila serta kapal mereka dijamin,” kata kenyataan itu.
GSF ketika ini sedang belayar merentasi Laut Mediterranean, membawa bekalan makanan, ubat-ubatan serta mesej keamanan.
Kumpulan itu dijadual tiba di perairan Gaza pada akhir bulan ini.
Misi bersejarah itu melibatkan lebih 1,000 sukarelawan dari seluruh dunia, termasuk 34 rakyat Malaysia.
Kementerian Luar memaklumkan, kesemua 34 rakyat Malaysia yang menyertai flotila dilaporkan berada dalam keadaan selamat.
Malaysia terus berdiri teguh bersama Palestin dan mengulangi gesaannya agar genosid serta sekatan haram ke atas Gaza ditamatkan segera, kata kenyataan itu.
Terdahulu, Bernama melaporkan konvoi GSF berdepan detik tegang selepas menjadi sasaran intimidasi dron rejim Israel, sebahagiannya dilaporkan meletup di udara ketika insiden berlaku.






