KUALA TERENGGANU – Kebocoran paip gas di tapak Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Seksyen 5, dekat Kemaman tidak menjejaskan kerja pembinaan projek itu.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kerja pembersihan sisa gas sedang giat dijalankan dengan pemantauan rapi oleh beberapa agensi berkaitan.
Beliau turut memberi jaminan insiden tersebut tidak akan menjejaskan jadual pembinaan ECRL yang kini secara keseluruhan mencatatkan kemajuan 87 peratus.
“Saya rasa tidak (menjejaskan projek ECRL), kerana biasanya apabila saluran paip gas bocor, ia tidak meletup.
“Jadi, kes ini tidak sama dengan kejadian di Putra Heights, ia berbeza.
“Walaupun berlaku kebocoran, tindakan segera telah diambil semalam untuk menutup bekalan.
“Kebocoran itu kini sedang dibaiki dan kerja-kerja pembaikan dijalankan serta-merta,” katanya, lapor Sinar Harian.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas melancarkan Program Transformasi Perkhidmatan Bas.My Kuala Terengganu Pasar Payang, di sini, hari ini.
Hadir sama Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Mengulas lanjut mengenai kerja pembaikan paip gas itu, Loke berkata, hanya Petronas yang boleh menentukan tempoh siap pembaikan kerana ia melibatkan aset milik syarikat itu.
“Siasatan sedang dijalankan oleh Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM), Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) dan agensi-agensi lain.
“Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) telah mengemukakan laporan awal kepada saya, manakala Petronas akan melaksanakan kerja-kerja pembaikan segera.
“Saya yakin perkara ini boleh diselesaikan dalam masa terdekat,” ujarnya.






