
KOTA KINABALU – Generasi muda hari ini mesti dipersiapkan dengan didikan bermoral berlandaskan integriti kerana mereka adalah pemimpin yang bakal menentukan masa depan negara, kata Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berkata, memupuk kejujuran dan tanggungjawab dalam diri anak-anak sejak kecil adalah asas kepada pembinaan barisan pemimpin masa depan yang telus dan berwibawa.
“Oleh itu, Program Kedai Jujur dilihat sebagai platform terbaik untuk melatih generasi muda mengamalkan nilai integriti setiap hari.
“Ia latihan berharga untuk mempersiapkan mereka menghadapi cabaran dunia luar yang lebih kompleks,” katanya ketika merasmikan Program Kedai Jujur 2025 di Sekolah Kebangsaan (SK) Mutiara, di sini, pada Selasa.
Jelas Hajiji, mendidik anak-anak agar berpegang pada integriti bukanlah tanggungjawab Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semata-mata, sebaliknya harus digalas bersama seluruh masyarakat.
“Kejayaan membudayakan integriti hanya dapat dicapai apabila semua pihak berganding bahu menjadikannya amalan dalam setiap aspek kehidupan.
“Konsep Kedai Jujur berasaskan amalan masyarakat Sabah sejak dahulu yang mengamalkan gerai jualan tanpa penjaga, meletakkan barangan bersama tabung bayaran dan mempercayai kejujuran pembeli boleh dijadikan benteng awal bagi menghalang salah laku tidak berintegriti dalam kalangan pelajar sekolah,” katanya.
Justeru itu, Hajiji menyeru agar lebih banyak sekolah menyertai program itu serta mengingatkan bahawa integriti bermula di rumah, di sekolah dan di setiap sudut kehidupan.
Difahamkan, program Kedai Jujur 2025 dilaksanakan di 10 sekolah seluruh Sabah termasuk di Kota Kinabalu, Kudat, Sandakan, Tawau dan Lahad Datu dengan SK Mutiara menjadi lokasi pelancaran rasmi.
Pada majlis sama, Hajiji turut mengumumkan kelulusan peruntukan khas sebanyak RM20 ribu kepada SK Mutiara untuk membiayai aktiviti sekolah tersebut.



