KERAJAAN MADANI sekali lagi membuktikan komitmen membela rakyat apabila harga petrol RON95 diturunkan kepada RM1.99 seliter.
Namun, seperti biasa, suara sumbang dari Ahli Parlimen Pas, Syahir Sulaiman cuba menutup kejayaan ini dengan putar belit politik.
Pas tidak mahu rakyat bersyukur
Syahir menulis kononnya rakyat menyambut ‘sederhana’ penurunan harga petrol. Hakikatnya, jutaan rakyat lega kerana dapat berjimat setiap kali mengisi minyak.
Pemandu teksi, penghantar makanan, pekerja kilang mereka tahu setiap sen itu amat berharga. Yang nampaknya tidak gembira hanyalah Pas, kerana mereka gusar melihat rakyat mula yakin kepada Kerajaan Pusat.
Hipokrasi Pas terbongkar
Syahir menuduh had penggunaan 300 liter tidak adil. Tapi Pas lupa, di negeri yang mereka tadbir, rakyat lebih terseksa dengan tarif air naik mendadak, cukai tanah meningkat, malah elaun ADUN dan gaji MB melambung tinggi.
Mengapa ketika itu Pas diam membisu? Hari ini mereka mahu mengajar Kerajaan Pusat tentang keadilan? Cakap tak serupa bikin.
Fitnah PADU dan BUDI95
Syahir cuba menggambarkan bahawa PADU gagal. Realitinya, PADU kekal relevan untuk perancangan sosial jangka panjang. BUDI95 pula mempercepat manfaat subsidi terus kepada rakyat tanpa kerenah birokrasi.
Rakyat tidak perlu isi borang berulang kali – hanya guna MyKad. Apa yang Syahir gelabah? Mungkin Pas takut kerana rekod pentadbiran mereka sendiri penuh ketirisan data, projek sakit, dan pembaziran.
Pas menakut-nakutkan rakyat kononnya data tidak selamat. Sedangkan MyKad sudah digunakan bertahun-tahun dalam pilihan raya dan urusan rasmi kerajaan.
Kalau Pas benar-benar prihatin tentang keselamatan data, mengapa mereka gagal jaga tanah rizab Melayu, gagal bendung ketirisan projek, malah gagal menjaga integriti pentadbiran negeri sendiri?
Pas main politik, PMX bawa solusi
Artikel Syahir hanyalah satu lagi bukti bahawa Pas lebih selesa menghasut daripada bekerja. Mereka gagal menyediakan penyelesaian di negeri yang mereka tadbir, tapi mahu jadi pakar ekonomi di peringkat nasional.
Sedangkan PMX berani mengambil langkah berisiko tinggi menurunkan harga petrol, mengurus fiskal negara dengan lebih telus, dan memastikan subsidi benar-benar kembali kepada rakyat.
Syahir Sulaiman dan Pas boleh terus menulis panjang berjela, tetapi rakyat tidak buta. Mereka tahu siapa yang menurunkan harga petrol ke RM1.99, siapa yang meringankan beban, dan siapa yang hanya pandai bercakap tanpa bekerja.
Kerajaan Madani bekerja, PAS hanya berdrama.








