Sindiket bawa masuk warga asing haram di pintu masuk negara, imigresen harus direformasi

PUTRAJAYA – Pembongkaran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melibatkan sindiket kemasukan warga asing secara haram menerusi kaedah ‘counter setting’ membuktikan budaya rasuah dalam kalangan agensi penguat kuasa di pintu masuk negara semakin berleluasa.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, isu tangkapan rasuah di pintu masuk negara berulang hampir setiap tahun sekaligus memperlihatkan ia menjadi jenayah sistematik dan cuba dinormalisasikan.

Sehubungan itu, beliau mengesyorkan agar Jabatan Imigresen perlu melaksana reformasi secara menyeluruh, bukan hanya melibatkan penggantian pegawai, tetapi merangkumi penstrukturan semula sistem, prosedur kerja, serta teknologi yang digunakan.

“Rombakan menyeluruh itu penting untuk menutup sebarang ruang yang boleh dieksploitasi oleh sindiket dan penguat kuasa yang korup.

“Sebagai contoh, kaedah ‘counter setting’ yang digunakan oleh sindiket perlu dihapuskan dengan mengotomatisasi lebih banyak aspek dalam proses kemasukan warga asing dan meningkatkan pengawasan melalui teknologi seperti kamera pengawasan dan analisis data yang lebih canggih,” katanya kepada The Malaysia Press, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tangkapan lima pegawai Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas disyaki bersekongkol dengan sindiket membawa masuk warga asing di negara ini semalam.

Sindiket berkenaan dipercayai didalangi beberapa penguat kuasa yang bertugas di pintu masuk negara dengan menjadi tali barut bagi melepaskan kumpulan warga asing yang tiba tanpa melalui prosedur yang telah ditetapkan menerusi modus operandi ‘counter setting’.

Dalam pada itu, Jais berkata, penambahbaikan integriti dan pengawasan rasuah dalam kalangan penguat kuasa menjadi isu yang berlarutan kerana kekurangan pengawasan dan tindakan punitif yang berkesan.

Jelasnya, keperluan untuk badan pemantau bebas yang khusus ditubuhkan bagi memantau integriti penguat kuasa di pintu masuk negara.

“Badan itu harus diberikan kuasa untuk menjalankan audit berkala, mengadakan pemeriksaan mengejut, dan mengambil tindakan segera terhadap pegawai yang didapati terlibat dalam kegiatan rasuah.

“Selain itu peningkatan penggunaan teknologi di pintu masuk negara perlu digunakan. Pintu masuk itu perlu dilengkapi dengan teknologi terkini bagi mengurangkan campur tangan manusia yang boleh dimanipulasi. Sebagai contoh, penggunaan sistem pengenalan biometrik dan sistem pengesanan palsu yang canggih.

“Ia mampu menghalang kemasukan warga asing tanpa melalui pemeriksaan yang ketat. Sistem berkenaan juga boleh berfungsi sebagai alat pengawasan untuk memantau aktiviti penguat kuasa,” katanya.

Mengulas lanjut, Jais menegaskan, keperluan juga untuk memperkukuhkan integriti dalam kalangan penguat kuasa melalui program pendidikan dan latihan semula yang komprehensif, dengan menekankan nilai-nilai integriti, akauntabiliti, dan tanggungjawab

“Pegawai penguat kuasa harus didedahkan kepada akibat-akibat yang serius jika terlibat dalam rasuah, bukan sahaja kepada diri mereka tetapi juga kepada keselamatan negara dan kesejahteraan masyarakat,” katanya.

Jelasnya, pegawai yang didapati bersalah terlibat dalam kegiatan jijik itu harus dikenakan hukuman yang setimpal dan dijadikan contoh agar menjadi pengajaran, selain memperkasakan tindakan susulan terhadap pegawai-pegawai atasan yang lalai atau bersubahat.

Pada masa sama, Jais memaklumkan, keperluan juga buat kerajaan memperkenalkan hukuman sebatan mandatori kepada penguatkuasa yang terlibat rasuah dalam isu kemasukan warga asing secara haram.

“Rasuah di pintu masuk negara bukan sahaja memberi kesan kepada keselamatan dan kedaulatan negara, tetapi juga mencerminkan integriti dan kecekapan jabatan seperti Jabatan Imigresen.

“Isu terbabit memerlukan tindakan segera dan menyeluruh, dari reformasi jabatan hingga kepada pengenalan teknologi dan pengukuhan pendidikan integriti. Tanpa pembaharuan yang radikal, isu ini akan terus berlarutan dan menjadi kebiasaan yang sukar dihapuskan,” katanya.

Related Posts

Gempa bumi bermagnitud 5.0 dikesan di perairan Sandakan

SANDAKAN – Gempa bumi sederhana bermagnitud 5.0 berlaku di perairan Sandakan, Sabah pada jam 9.11 malam tadi. Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menerusi kenyataan di Facebook pada Isnin, memaklumkan gempa itu…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Kerajaan Kelantan, Pentadbir Tanah Pasir Mas diperintah bayar ganti rugi RM17.46 juta

KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan dan Pentadbir Tanah Daerah Pasir Mas diperintah membayar ganti rugi berjumlah RM17.46 juta kepada 348 peserta FELCRA Bukit Tandak berhubung pengeluaran tender pembalakan pokok getah…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Imigresen serbu resort terbiar jadi pusat sindiket penipuan antarabangsa

Imigresen serbu resort terbiar jadi pusat sindiket penipuan antarabangsa

Sabah jadi tumpuan pendaki dunia, 250 peserta sertai Kinabalu Climbathon edisi ke-33

Sabah jadi tumpuan pendaki dunia, 250 peserta sertai Kinabalu Climbathon edisi ke-33

GRS sasar lebih 15 kerusi Parlimen Sabah pada PRU akan datang

GRS sasar lebih 15 kerusi Parlimen Sabah pada PRU akan datang

Gempa bumi bermagnitud 5.0 dikesan di perairan Sandakan

  • By Fandi
  • October 6, 2026
Gempa bumi bermagnitud 5.0 dikesan di perairan Sandakan

Kerajaan Kelantan, Pentadbir Tanah Pasir Mas diperintah bayar ganti rugi RM17.46 juta

Kerajaan Kelantan, Pentadbir Tanah Pasir Mas diperintah bayar ganti rugi RM17.46 juta

Pahang terbuka untuk jumpa bincang dengan wakil Berjaya Hills

Pahang terbuka untuk jumpa bincang dengan wakil Berjaya Hills