Majikan zalim beri masalah kepada kerajaan

KELMARIN saya menulis isu kewujudan segelintir majikan yang zalim dan tidak adil ke atas kakitangan seliaannya.

Fenomena itu berlaku bukan sahaja dalam sektor awam, malah sektor swasta, namun tulisan tersebut insiden yang berlaku dalam sektor awam.

Sangat mengejutkan apabila tulisan itu disokong dan rata-rata pembaca mahu hal itu diketengahkan agar pengurusan sesebuah organisasi lebih tenteram dan kondusif.

Saya memahami itu kerana kezaliman – pilih kasih; prejudis; kurang budi bicara; mudah terpengaruh; berdendam; tidak konsisten bertindak; menyebabkan ada pihak teraniaya.

Apa keadaan sesebuah organisasi apabila majikan berlaku zalim ke atas kakitangannya – pilih kasih mengenakan hukuman ke atas dua individu dalam kes yang sama?

Bayangkan budaya organisasi apabila majikan terlalu prejudis ke atas kakitangan yang tidak disukainya atas faktor dendam peribadi sekalipun banyak kebaikan kakitangan itu.

Apa akan berlaku kepada organisasi jika kurang budi bicara majikan ke atas kakitangan terutama dalam hal kesihatan keluarga, kebajikan, dan kesejahteraan kakitangan?

Cuba kita bayangkan apa akan jadi jika majikan mudah terpengaruh oleh “maklumat” sehinggakan berlaku “silap hukuman” termasuklah dalam soal penilaian prestasi?

Seterusnya, bukan sesuatu hal yang asing apabila ditimbulkan isu kakitangan teraniaya disebabkan majikan menyimpan dendam dan kebencian yang bersifat peribadi.

Dalam kes seumpama itu, segelintir majikan tidak lagi memandang kebolehan, potensi, dan bakat seseorang kakitangannya, walaupun pihak lain mengiktiraf keistimewaan itu.

Berlaku juga kes sesetengah majikan bertindak tidak konsisten atas isu yang sama – orang yang “disayangi” dibiarkan culas, orang yang dibenci dihukum “ikut buku”.

Contoh yang lain pula, orang yang rapat dengan majikan diberikan “kelebihan” dalam sesuatu permasalahan, tetapi orang tidak digemari, dinafikan menerima “kelebihan” itu!

Bukan satu perkara yang pelik bahawa selain dinafikan perolehan markah prestasi yang sepatutnya, ada juga kakitangan dinafikan kenaikan pangkat biarpun beliau amat hebat!

Demikianlah realitinya!

Oleh sebab itu, semua kementerian perlu melihat fenomena ini dan menyesuaikannya dengan hasrat kerajaan mewujudkan suasana yang kondusif dalam sektor awam.

Di sebalik komitmen Perdana Menteri membasmi “sikap culas” dalam diri kakitangan awam, semua kementerian jangan ambil mudah keluhan kakitangan yang teraniaya.

Jangan sampai timbul tanggapan dalam diri kakitangan yang tersebut bahawa kerajaan meletakkan mereka dalam keadaan yang sukar dan mereka terus terhimpit.

Hasrat Perdana Menteri mengubah keadaan yang tidak bagus dalam sektor awan (dan mungkin sektor swasta juga) sangat baik demi mempercepat kita menjadi negara maju.

Atas hakikat itu, semua kementerian perlu sedia mendengar keluhan “orang terpinggir” dan lebih proaktif; jangan hanya mengharapkan Perdana Menteri menyelesaikannya.

Yang lebih penting, semua setiausaha politik seseorang menteri, jangan terlalu cepat menganggap bahan mentah yang dikemukakan kepada mereka sebagai “sampah”.

Kadangkala, prestasi kurang baik seseorang menteri dan timbalan menteri difaktorkan oleh sikap setiausaha politik dan “pegawai tinggi tertentu”. Hal ini harus segera diinsafi.

Ingat, kejatuhan UMNO dan Barisan Nasional sebagai tonggak kerajaan dalam negara ini dahulu sebahagiannya difaktorkan oleh permasalan yang dinyatakan ini!

Ambil iktibar daripada pergulatan itu. Jangan pula itu berlaku dalam Malaysia Madani! Jaga nama baik Kerajaan Perpaduan.

Pastikan majikan diberi peringatan akan permasalahan ini secara berterusan. Jangan pakai percaya bulat-bulat. Majikan juga manusia; tidak terlepas daripada kesilapan!

Ingat, dari hari ke hari, rakyat semakin menerima baik kepimpinan Datuk Seri Anwar. Jangan sampai isu ini menjadi setitik nila yang merosakkan susu sebelanga.

Tulisan ini mungkin kurang disenangi sesetengah pihak, namun yang tidak disenangi (pahit) itulah sebenarnya ubat. Yang “manis” itu selalunya membawa bencana!

Akhir kata, buka jendela kebijaksanaan dengan menerima tulisan ini sebagai cetusan yang bermanfaat dan bertindak rasional sebelum nasi menjadi bubur.

Sedarlah, musang ada di mana-mana dan mereka sentiasa mencari kesempatan.

Jangan sampai kakitangan awam yang baru mendapat berita baik daripada Perdana Menteri masih terbelenggu oleh barah yang belum dibedah ini.

Kata orang tua-tua, sediakan payung sebelum hujan. Jangan terhantuk baru tengadah. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.

Related Posts

Ekonomi MADANI: Bukan sembang kosong atas kertas

BERDASARKAN laporan global, ketika ini dunia masih bergelut dengan krisis tenaga global, ketidaktentuan geopolitik dan pertumbuhan ekonomi yang kekal perlahan. Namun Malaysia di bawah pimpinan Anwar Ibrahim memilih pendekatan berbeza.…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Bekas pegawai kanan DBKL kekal dipenjara 4 tahun, denda RM1 juta terima suapan RM200,000

Bekas pegawai kanan DBKL kekal dipenjara 4 tahun, denda RM1 juta terima suapan RM200,000

PMX buktikan Kelantan tidak dipinggirkan, pembangunan lintas politik jadi keutamaan Kerajaan MADANI

PMX buktikan Kelantan tidak dipinggirkan, pembangunan lintas politik jadi keutamaan Kerajaan MADANI

Selat Melaka kekal aman, tidak perlu campur tangan kuasa luar

Selat Melaka kekal aman, tidak perlu campur tangan kuasa luar

Malaysia dipuji ulama antarabangsa, jadi penggerak penyatuan dan keamanan

Malaysia dipuji ulama antarabangsa, jadi penggerak penyatuan dan keamanan

Sarawak berpendirian teguh dalam MA63, tiada kompromi hak Sarawak – Sharifah Hasidah

Sarawak berpendirian teguh dalam MA63, tiada kompromi hak Sarawak – Sharifah Hasidah

Minat membaca generasi muda perlu diperkasa 

Minat membaca generasi muda perlu diperkasa