ARAU – Penganjuran festival kreatif di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) disifatkan sebagai usaha julung kali mendedahkan pelajar kepada realiti sebenar dunia luar.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud berkata, program itu menjadi platform penting memperkenalkan pelajar kepada industri kreatif yang kini diberi tumpuan kerajaan.
Katanya, inisiatif itu seiring dengan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang mengangkat industri kreatif atau ekonomi jingga sebagai bidang baharu berpotensi besar.
“Kita mahu pelajar melihat sendiri peluang masa depan mereka dalam industri kreatif yang semakin berkembang.
“Walaupun ada yang masih skeptikal terhadap bidang tersebut, usaha ini membuktikan ia mampu menyumbang kepada ekonomi negara,” katanya selepas merasmikan Creative Xperience Festival di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin di sini hari ini.
Tambahnya, dengan sokongan Persatuan Pekerja Profesional Filem, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia, Kementerian Komunikasi dan institusi latihan teknikal dan vokasional, KPT mahu generasi muda berani terlibat dalam bidang ini.
Mustapha berkata, kemunculan teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI) menjadikan kreativiti sebagai kemahiran penting untuk generasi muda.
“Anak muda kita sememangnya kreatif, cuma kreativiti itu perlu dipupuk agar digunakan pada landasan yang betul,” ujarnya.
Beliau turut mengakui Malaysia masih berada pada tahap sederhana dalam industri kreatif berbanding beberapa negara ASEAN lain.
“Dahulu kita pernah melahirkan ramai penggiat seni dan tokoh filem terkenal, jadi kita tidak boleh terus ketinggalan,” katanya.
Dalam masa sama, Mustapha menekankan keperluan memperkukuh tenaga pengajar agar selaras dengan perkembangan teknologi baharu.
“Tenaga pengajar mesti dipersiapkan supaya dapat melahirkan bakat terbaik negara setanding rakan sebaya di peringkat antarabangsa,” jelasnya.
Beliau berkata, KPT juga akan melibatkan pihak industri dalam proses penggubalan kurikulum baharu supaya selari dengan keperluan pasaran kerja.







