
RANG Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig yang baru-baru ini diluluskan oleh Parlimen merupakan satu hadiah istimewa buat golongan pekerja gig di negara ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Anwar, RUU yang telah mendapat persetujuan Parlimen itu kini memberikan takrifan yang lebih jelas terhadap profesion pekerja gig, termasuk pengiktirafan yang sewajarnya, penubuhan jaringan sosial yang kukuh, serta satu perancangan masa depan yang lebih teratur bagi mereka yang terlibat dalam sektor gig.
Perdana Menteri turut menyatakan bahawa meskipun terdapat pihak yang meragui dan mengkritik kelambatan dalam penggubalan undang-undang ini, kerajaan berhati-hati dalam setiap keputusan kerana kesannya akan dirasai oleh jutaan rakyat.
Beliau menegaskan bahawa setiap langkah yang diambil adalah untuk memastikan hak pekerja gig dilindungi dengan sempurna tanpa sebarang keraguan.
“Justeru, bersempena bulan kemerdekaan ini, saya tegaskan bahawa setiap keringat dan usaha pekerja gig adalah bermaruah, dan kalian punyai sumbangan yang besar pada pengukuhan ekonomi rakyat dan negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.
Dengan kelulusan RUU ini, kerajaan berharap ia akan membuka jalan bagi pembentukan satu ekosistem kerja yang lebih baik bagi golongan pekerja gig, serta memastikan mereka mendapat hak dan perlindungan yang setimpal dengan sumbangan mereka terhadap negara.
Pada Khamis, Malaysia mencipta sejarah sebagai antara negara terawal yang memperkenalkan perundangan untuk melindungi dan membela hak pekerja gig, dengan kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025.




