
KOTA KINABALU – Presiden Persatuan Ahli-Ahli Kehormat Ikatan Relawan Malaysia (RELA) Sabah, Brig. Jen. (Kehormat) Datuk Jerry Ambuting Mohd Said, pada Khamis membuat laporan polis terhadap Pemangku Presiden Parti Muda, Amira Aisya Abdul Aziz.
Ia susulan kenyataan Amira yang disiarkan portal Malaysiakini pada 27 Ogos lalu, yang didakwa berunsur fitnah serta cubaan menghasut rakyat terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Jerry menyifatkan kenyataan tersebut sebagai tidak berasas, berniat jahat serta berpotensi mengelirukan rakyat terhadap institusi penguatkuasaan negara.
“Kenyataan Amira dibuat tanpa sebarang bukti kukuh, hanya bersandarkan kepada dakwaan sebelah pihak yang belum dibuktikan secara sahih.
“Ini jelas satu bentuk fitnah yang bukan sahaja menjejaskan reputasi Ketua Pesuruhjaya SPRM, malah mencemar kredibiliti SPRM secara keseluruhan,” katanya dalam kenyataan media, di sini, pada Khamis.
Beliau berkata seruan Amira supaya orang awam membuat laporan terhadap Azam dilihat bermotif politik dan cuba menggugat kepercayaan rakyat terhadap institusi pencegahan rasuah negara.
“Tindakan seperti ini boleh disifatkan sebagai cubaan menghasut masyarakat, sekali gus berisiko mencetuskan kebencian dan kegelisahan awam.
“Jangan biarkan mana-mana pihak merosakkan keyakinan rakyat terhadap agensi penguatkuasaan semata-mata demi kepentingan politik sempit,” katanya.
Sehubungan itu, Jerry menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh terhadap kenyataan tersebut dan mengambil tindakan undang-undang sewajarnya sekiranya terbukti mengandungi unsur fitnah atau hasutan.
Beliau turut menasihatkan masyarakat agar tidak mudah terpengaruh dengan kenyataan politik berunsur tuduhan tanpa asas, sebaliknya menyerahkan segala isu berkaitan rasuah atau salah guna kuasa kepada pihak berkuasa untuk disiasat secara adil, telus dan mengikut peruntukan undang-undang.




