PUTRAJAYA – Penahanan seorang pegawai kanan gred Jusa B Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuktikan perlunya pihak berkuasa tempatan (PBT) itu melaksanakan audit secara menyeluruh dan telus.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, audit forensik ke atas semua projek perolehan DBKL perlu dilakukan khususnya yang melibatkan kontrak jangka panjang sejak 2010.
Beliau berpandangan, langkah terbabit dilihat dapaf mengenal pasti kemungkinan wujudnya salah guna kuasa atau amalan kartel dilakukan oleh pegawai daripada DBKL.
“DBKL perlu memperkukuh dasar integriti dalaman dengan mewajibkan pegawai kanan menandatangani Integrity Pact serta memperluas penggunaan sistem tender terbuka dalam semua proses perolehan.
“Laksanakan juga ngawasan Awam dengan menubuhkan panel pemantau B
bebas melibatkan wakil masyarakat sivil, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) integriti, dan akademia.
“Tindakan terbabit bagi memantau projek bernilai tinggi, seterusnya memulihkan keyakinan rakyat terhadap institusi kerajaan tempatan,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Khamis.
Dalam pada itu, Jais menyeru DBKL serta PBT lain melaksanakan segera mekanisme digital seperti e-procurement, AI risk assessment, dan penggunaan kamera badan dalam operasi penguatkuasaan untuk mengurangkan ruang rasuah.

“Isu rasuah di peringkat kerajaan tempatan bukan sahaja merugikan kewangan awam, tetapi menjejaskan kualiti hidup warga kota,” katanya.
Sehubungan itu, Jais menegaskan, kes yang melibatkan pegawai kanan dalam kalangan pegawai gred Jusa B mesti dijadikan titik perubahan untuk melaksanakan reformasi serius dalam tadbir urus DBKL.
“MCW menyambut baik komitmen Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif, Datuk Bandar Kuala Lumpur, yang menegaskan bahawa DBKL akan memberikan kerjasama penuh kepada SPRM serta menekankan kepentingan integriti dan ketelusan dalam pentadbiran bandar raya.
“MCW akan terus memantau perkembangan kes ini dan bersedia untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa serta DBKL dalam usaha meningkatkan integriti, ketelusan, dan akauntabiliti,” katanya.
Terdahulu, seorang pegawai kanan yang berkhidmat di agensi pihak berkuasa tempatan (PBT) dilapor antara tiga individu ditahan SPRM kerana disyaki terbabit rasuah sejak 2014.
Pegawai kanan gred Jusa B itu ditahan bersama seorang pemilik syarikat dan orang awam.
Menurut sumber, pegawai yang berkhidmat di ibu negara berusia lingkungan 50-an itu ditahan sekitar 4 petang di pejabatnya, manakala pemilik syarikat iaitu lelaki lingkungan 40-an dan wanita, 40-an ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya dan Pejabat SPRM Kuala Lumpur ketika hadir memberi keterangan.





