
SANDAKAN – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memperuntukkan sebanyak RM350,000 bagi projek menaik taraf lima gelanggang tenis di daerah ini.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, fasiliti yang dinaik taraf itu memberi peluang kepada Sandakan untuk menganjurkan pelbagai kejohanan tenis di peringkat negeri Sabah.
“Ia merangkumi kerja-kerja menaik taraf lantai gelanggang tenis, membina parit baharu dan ‘portable awning’ untuk keselesaan pengguna.
“Adanya fasiliti ini, Sandakan berpotensi menjadi tuan rumah kepada kejohanan tenis kerana mempunyai kemudahan gelanggang yang lebih baik.
“Saya berharap ia akan terus dimanfaatkan oleh Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) untuk penganjuran kejohanan pada masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Merasmikan Gelanggang Tenis Daerah Sandakan serta Penutupan Kejohanan Tenis Berpasukan Jemputan Negeri Sabah 2025 di Gelanggang Tenis, Kelab Tenis Sandakan, Elopura Ujana, d sini, pada Sabtu.
Hannah berkata, kemudahan itu juga diharap menjadi pusat pertemuan atlet tenis dari seluruh daerah di Sabah sekali gus merancakkan pembangunan sukan berkenaan.
Menurut beliau, Sabah melahirkan ramai atlet yang mewakili Malaysia dalam pelbagai bidang sukan dan kewujudan fasiliti baharu ini bakal memberi ruang lebih luas kepada pencarian bakat baharu, khususnya dalam sukan tenis.
“Banyak gelanggang tenis kini sudah uzur, jadi ini adalah salah satu kemudahan yang baik hasil sokongan dana KBS melalui Geran Padanan Sukan (GPS) dan Dana Sukan Komuniti (DSK).
“Dana ini bertujuan memastikan negeri seperti Sabah turut berpeluang menganjurkan kejohanan peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee atas usaha berterusan membantu pembangunan bakat serta kemudahan sukan di daerah ini.
“Saya pertama kali ke Sandakan adalah untuk merasmikan ‘Skate Park’ Sandakan yang diperuntukkan oleh Vivian dan sekali lagi saya hadir untuk perasmian gelanggang tenis ini,” ujarnya.







