
SANDAKAN – Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan bersama Unit Gempur Marin, PPM Wilayah 4 Sabah, merampas sebanyak 90,800 batang rokok seludup dengan nilai anggaran keseluruhan RM129,618 dalam satu serbuan di sebuah rumah di Taman Indah Jaya, Batu 4, Sandakan, di sini, pada Selasa lalu.
Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Nazri Ibrahim berkata, operasi hasil maklumat awam itu dijalankan pada pukul 8.30 malam dan berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun.
“Rokok pelbagai jenis tersebut ditemui disorokkan di dalam bekas plastik di premis berkenaan.
“Suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Sementara itu, dalam operasi berasingan, Unit Risikan Markas PPM Wilayah 4 Sabah menyerbu sebuah gudang minyak haram di Jalan Batu 27, Sandakan.
Menurutnya, serbuan mendapati suspek sedang giat melakukan pemindahan minyak dari tong simpanan sementara ke dalam tangki lori dipercayai untuk diedarkan kepada sindiket.
“Dalam serbuan itu, dua lelaki tempatan berusia antara 26 hingga 66 tahun diberkas bagi membantu siasatan.
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM228,935. Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” jelasnya.
Sementara itu, beliau berkata, orang ramai dialu-alukan menyalurkan maklumat untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang negara.
Sehubungan itu, PPM Wilayah 4 Sabah menegaskan bahawa pihaknya akan terus komited dalam membanteras kegiatan jenayah penyeludupan demi keselamatan dan kesejahteraan negara.





