Usah gopoh, banyak implikasi negatif turun had umur tamat sekolah kepada 16 tahun

PUTRAJAYA – Cadangan menurunkan had umur tamat persekolahan kepada usia 16 tahun dibimbangi akan memberi implikasi besar kepada perkembangan anak-anak, khususnya terhadap pembangunan pendidikan anak muda.

Pakar pendidikan, Dr Anuar Ahmad berkata, dasar itu tidak boleh dilaksana secara gopoh, hanya semata-mata mahu menangani isu penuaan populasi atau mempercepatkan kemasukan tenaga kerja muda ke pasaran pekerjaan.

Menurutnya, perancangan jelas seperti pengisian yang bermanfaat khususnya kepada pelajar yang tidak menyambung pengajian kerana jika tidak melakukan sesuatu yang produktif, ia boleh merugikan negara.

“Saya suka mengambil sikap berhati-hati dengan cadangan had umur 16 tahun ini, kerana ia memberi beberapa kesan yang mesti diuruskan. Misalnya, kalau tamat pada umur 16 tahun, mereka nak sambung belajar untuk ke pengajian tinggi tidak boleh kerana peringkat pengajian tinggi kita bermula pada umur sekitar 18 atau 19 tahun.

“Kalau mahu turunkan tahap umur kepada 16 tahun, maka kita kena juga bersedia untuk menurunkan had umur untuk masuk ke universiti,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Anuar yang juga Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berpandangan, dalam usia semuda itu dan tanpa sebarang kemahiran atau kelayakan rasmi, golongan berkenaan mungkin belum bersedia untuk bekerja.

Beliau berkata, antara perkara perlu difikirkan ialah apakah pengisian mereka selepas tamat pada usia 16 tahun kerana tanpa perancangan rapi dan program khusus, negara berisiko melihat generasi muda tercicir, terbabit dalam kegiatan tidak produktif atau hanya terperangkap dalam pekerjaan dengan upah rendah.

“Kita boleh mempertimbangkan 16 tahun dengan syarat ‘vacuum’ itu mesti diisi. Maksudnya, selepas tamat sekolah pada usia tersebut, kalau pelajar tidak mahu sambung belajar, apa pengisian untuk pasca 16 tahun itu. Adakah mereka akan bekerja dengan gaji upah atau hanya duduk di rumah dua hingga tiga tahun? Kalau itu berlaku, itu akan memberi kerugian kepada Malaysia.

“Saya tidak menolak cadangan ini namun mesti ada kajian menyeluruh, komprehensif agar boleh menunjukkan kepada kita bahawa adalah lebih baik pelajar tamat persekolahan pada umur 16 tahun berbanding amalan sekarang. Kalau ada ruang untuk lebih produktif, mereka boleh dapat pekerjaan baik lepas tamat sekolah yang dilihat menjimatkan kos kerajaan dari segi penyediaan pendidikan.

“Justeru, ada sebab yang jelas saya rasa kita boleh timbalkan tapi buat masa ini saya rasa belum nampak lagi cadangan yang konkrit mengapa kita kena tamatkan pada usia 16 tahun itu, saya rasa pada usia 17 tahun sekarang pun sudah dianggap agak muda, tapi sebab amalan kita itu daripada dahulu lagi, kita sudah ada struktur dengan mereka sambung belajar pada umur 18 tahun dan sebagainya.

“Sehubungan itu, saya rasa perlukan perhatian kepada kajian-kajian yang lebih menyeluruh untuk kita meyakinkan masyarakat bahawa umur 16 tahun ini adalah hat umur tamat sekolah yang lebih baik daripada umur 17 tahun seperti sekarang,” katanya.

Sementara itu, Anuar berkata, cadangan mewajibkan pendidikan prasekolah pada usia lima tahun adalah langkah tepat dan perlu dilaksanakan segera bagi memastikan pembangunan menyeluruh kanak-kanak di negara ini, berikutan usia antara 4 hingga 9 tahun adalah tempoh kritikal perkembangan kognitif, komunikasi dan sosialisasi kanak-kanak. 

Beliau berpendapat, pendidikan wajib pada peringkat prasekolah membolehkan mereka mendapat pendedahan awal secara berstruktur dan terancang dan dasar tersebut telah pun dilaksana di negara-negara ASEAN dan Eropah, malah sudah ada yang bermula seawal usia 4 tahun.

“Saya rasa sudah tiba masanya dilaksanakan dan banyak kajian pendidikan awal kanak-kanak di seluruh dunia mengesahkan umur 4 hingga 9 tahun adalah waktu  atau fasa perkembangan kongnitif pembelajaran yang baik. Dengan adanya dasar itu,  kita dapat menyampaikan pendidikan secara berstruktur secara terancang kepada semua anak- anak kita berkaitan dengan banyak perkara di keliling mereka.

“Pelaksanaan ini turut memberi kesan positif kepada kesihatan kanak-kanak. Di sekolah, mereka dapat pemakanan sihat melalui program susu dan sarapan, pemeriksaan gigi berkala serta pemantauan tumbesaran yang penting bagi mengelakkan masalah bantut.

“Prasekolah wajib juga berperanan memantau perkembangan emosi dan menjadi mekanisme perlindungan kepada kanak-kanak daripada penderaan atau pengabaian. Kehadiran guru bertauliah membolehkan sebarang tanda kecederaan, perubahan tingkah laku atau masalah psikologi dikesan lebih awal untuk tindakan segera,” katanya.

Untuk rekod, dalam kalangan negara lain, tempoh persekolahan di Singapura adalah antara usia 6 hingga 16 tahun; Indonesia (7 hingga 15 tahun) manakala Jepun (6 hingga 15 tahun).

Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, sebelum ini mencadangkan supaya kerajaan menetapkan umur berakhir persekolahan pada usia 16 tahun.

Dengan umur seawal itu, Ahli Parlimen Pandan itu berkata, memberi peluang kepada golongan itu untuk menyertai dunia pekerjaan pada usia lebih muda.

Dalam kalangan negara maju lain, Finland mempunyai tempoh persekolahan antara usia 7 hingga 16 tahun dan Jerman (6 hingga 16 tahun).

Related Posts

Anwar saman Tuan Ibrahim berhubung dakwaan kenyataan fitnah

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan saman fitnah terhadap Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berhubung kenyataan yang didakwa dibuat ketika satu ceramah…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Anwar saman Tuan Ibrahim berhubung dakwaan kenyataan fitnah

Anwar saman Tuan Ibrahim berhubung dakwaan kenyataan fitnah

Rozabil balas sindiran bekas MB, ungkit Pas tinggalkan MN

Rozabil balas sindiran bekas MB, ungkit Pas tinggalkan MN

Anwar selamat menjalani pembedahan hernia, kini dalam proses pemulihan

Anwar selamat menjalani pembedahan hernia, kini dalam proses pemulihan

PN cadang sidang khas RCI Tabung Haji ditangguh susulan kesihatan PM

PN cadang sidang khas RCI Tabung Haji ditangguh susulan kesihatan PM

Bulan dan bintang hilang: Ke mana perginya para ‘Hero Malaya’?

Bulan dan bintang hilang: Ke mana perginya para ‘Hero Malaya’?

Pas fikir perpaduan, dia nampak setakat ibu jari kaki – Bekas MB Perlis

Pas fikir perpaduan, dia nampak setakat ibu jari kaki – Bekas MB Perlis