
SARATOK – Seramai 1,762 pekebun kecil di kawasan Saratok menerima khabar gembira apabila bantuan baja bernilai lebih RM3.47 juta berjaya disalurkan hasil usaha Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik, dengan kerjasama Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA).
Majlis penyerahan Bantuan Input Pertanian yang berlangsung di Pejabat Pertanian Daerah Saratok menyaksikan 1,325 pekebun kelapa sawit dan 437 pekebun lada menerima agihan awal baja.
Friday berkata, usaha mendapatkan peruntukan berkenaan dilakukan selepas pihaknya dimaklumkan oleh Pejabat Pertanian Saratok mengenai kekangan bajet yang dihadapi untuk membantu pekebun kecil.
“Selepas menerima maklum balas berhubung masalah ini, saya segera bertindak mendapatkan bantuan daripada BDDA agar nasib pekebun kecil terus terbela,” katanya semasa berucap pada majlis tersebut.
Menurutnya, peruntukan yang diluluskan merangkumi RM2.61 juta bagi baja kelapa sawit dan RM866,571 bagi baja tanaman lada, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM3,479,471.
Dalam pada itu, beliau turut menasihati para pekebun agar menggunakan bantuan yang diterima secara berhemah dan tidak disalahgunakan.
“Gunakanlah baja ini untuk meningkatkan hasil dan meringankan beban kewangan, bukan untuk tujuan lain,” ujarnya lagi.
Hadir sama dalam majlis penyerahan bantuan itu ialah Pegawai Pertanian Daerah Saratok, Duat Gayok dan kakitangan Pejabat Pertanian Daerah.
Foto: Facebook Friday Belik Official





