
KOTA KINABALU – Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu (KK) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) KK menjalinkan kerjasama strategik dalam usaha menangani pelbagai masalah melibatkan pelajar sekolah.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, program permuafakatan antara IPD dan PPD yang berlangsung hari ini menjadi platform penting ke arah memperkukuh hubungan serta usaha bersama kedua-dua pihak.
“Program ini bertujuan mengadakan kolaborasi dan mewujudkan satu bentuk kerjasama erat antara pihak polis dan para pendidik dalam melaksanakan pelbagai inisiatif, khususnya bagi menangani kes jenayah, kesalahan dadah, pelanggaran undang-undang lalu lintas serta jenayah komersial,”katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Program Permuafakatan IPD dan PPD KK yang diadakan di Dewan Serbaguna IPD KK, di sini pada Rabu.

Kasim berkata, program ini menyediakan panduan kepada para pengetua dan guru dalam menangani masalah-masalah disiplin dan jenayah di sekolah.
“Yang paling penting sekarang ini kita dapat memberi ataupun mengadakan satu panduan kepada semua pengetua dan guru mengenai cara untuk kita menangani masalah-masalah jenayah di sekolah,” katanya.
Menurut beliau, pelaksanaan program ini menunjukkan impak positif terhadap penurunan kes-kes yang melibatkan pelajar sekolah di daerah itu.
“Program ini kali kedua diadakan, jadi kesannya bagus. Kita nampak tiadanya kes-kes jenayah terutamanya jenayah komersial dan jenayah dadah.
“Kesalahan trafik juga setakat ini kita tidak dapat kesan,” ujarnya.
Bagaimanapun, beliau memaklumkan masih terdapat sedikit kes membabitkan pelajar bergaduh.
“Cuma ada dua tiga kes jenayah yang melibatkan kesalahan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu budak-budak bergaduh, itu sahaja kesalahan yang ada,” tambahnya.







