
SEMPORNA – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Semporna berjaya menggagalkan cubaan menyeludup keluar 1,100 liter minyak petrol ke negara jiran dengan anggaran nilai keseluruhan rampasan termasuk barangan hampir RM155,000.
Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Amir Shubli berkata, rampasan petrol berkenaan dibuat dalam satu operasi bersepadu Op Pluto Timur 2/2013 di Perairan Tg Kapur, pada Rabu.
“Bertindak atas maklumat kira-kira pukul 1 pagi, sepasukan anggota dan bot BANGGI 10 kemudian digerakkan ke kawasan terbabit selepas sebuah bot kargo dikesan mencurigakan.
“Sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, tekong bot bertindak melarikan diri dengan memecut ke kawasan cetek sebelum terjun dan menghilangkan diri ke dalam hutan bakau,” katanya dalam kenyataan media, pada Rabu.

Menurut Amir, bot terbabit disyaki melakukan pengubahsuaian kapasiti tangki bahan api dan membawa muatan minyak petrol untuk diseludup ke negara jiran.
“Kesemua barang rampasan iaitu minyak petrol, bot kargo, enjin sangkut 200HP dan pam elektrik bernilai RM155,000 dibawa ke Jeti Zon Maritim Semporna untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki dan mengangkut barang kawalan tanpa kebenaran yang sah.







