
MUKAH – Seorang lelaki dilaporkan meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan yang berlaku awal pagi Ahad di Jalan Oya-Dalat, berdekatan Kampung Tanam.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Mukah, PBK II Bonnie Sera memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 3:37 pagi sebelum anggota segera bergegas ke tempat kejadian.
Setibanya di lokasi, pasukan penyelamat mendapati sebuah Toyota Rush telah terbabas lalu melanggar culvert di bahu jalan. Insiden itu menyebabkan pemandu tercampak keluar dari kenderaan dan disahkan maut di lokasi kejadian.
Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Mukah oleh anggota polis sebelum kehadiran pasukan bomba.
Bagi memastikan keselamatan, anggota bomba mengambil langkah memutuskan sambungan bateri kenderaan dan menyembur air ke bahagian papan pemuka yang mengeluarkan asap bagi mengelak risiko kebakaran.
Selepas memastikan keadaan benar-benar selamat, operasi di lokasi tamat sepenuhnya.
Difahamkan, seramai lapan anggota polis turut terlibat di lokasi bagi menjalankan siasatan serta mengawal laluan trafik.
Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak menasihati pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati, terutama jika memandu pada waktu malam atau awal pagi, demi mengurangkan risiko kemalangan.
Foto: Balai Bomba dan Penyelamat Mukah




