Bukan minta Sanusi undur, cuma kotakan janjinya – Suara Anak Kedah

ALOR SETAR – Himpunan ‘Honggaq Kedah’ yang dijadual berlangsung pada 24 Ogos ini bukan bertujuan menjatuhkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, sebaliknya sebagai desakan agar beliau menyelesaikan 10 isu utama rakyat sebelum Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Pengarah Sekretariat Suara Anak Kedah, Sulaiman Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Leman Raja Lawan berkata, himpunan tersebut akan menjadi medium bagi rakyat Kedah menyerahkan memorandum ketidakpuasan hati terhadap pentadbiran kerajaan negeri sekarang ini.

Menurutnya, perhimpunan itu dianjurkan sepenuhnya oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di bawah suara rakyat tanpa sebarang penglibatan rasmi mana-mana parti politik.

“Kami tidak memegang sebarang jawatan dalam politik. Kami tampil menegur sebagai rakyat Kedah yang melihat kegagalan dalam pengurusan negeri, khususnya aspek ekonomi dan pentadbiran.

“Menteri Besar dilihat lebih cenderung kepada berpolitik berbanding melaksanakan tanggungjawab mentadbir negeri secara berkesan. Maka, rakyat berhak menegur dan mendesak beliau agar menyelesaikan isu-isu rakyat,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Sulaiman berkata, 10 isu utama yang bakal dimuatkan dalam memorandum hanya akan diumumkan pada hari perhimpunan ketika penyerahan memorandum di hadapan Wisma Darul Aman.

“Buat masa ini, kami tidak akan dedahkan isi memorandum bagi mengelak ia dipolitikkan, namun secara umumnya ia melibatkan isu rakyat dan pentadbiran.

“Kami hanya boleh beri bayangan bahawa sekurang-kurangnya dua isu tersebut mungkin memerlukan siasatan bebas, termasuk cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI). Perinciannya hanya akan didedahkan pada 24 Ogos nanti,” jelasnya.

Beliau menegaskan, himpunan itu bukan bermotifkan politik mahupun serangan peribadi bagi mendesak Sanusi melepaskan jawatan.

“Kami tidak mahu beliau turun sekarang, kami cuma mahu beliau selesaikan isu-isu yang dijanjikan kepada rakyat. Jika beliau gagal, biarlah rakyat sendiri membuat penilaian pada PRU16 nanti.

“Masih berbaki kira-kira dua tahun setengah sebelum PRU16. Gunakanlah tempoh ini untuk menunaikan janji. Kebanyakan isu yang tular di media sosial tiada kaitan dengan perkara yang kami akan bangkitkan,” ujarnya.

Mengulas mengenai nama ‘Honggaq’, beliau menjelaskan bahawa ia merupakan dialek Kedah yang bermaksud ‘menggoncang’.

“Kami bukan mahu ‘cabut’ kerajaan, tetapi hanya mahu ‘goncang’ supaya mereka sedar dan bertindak. Ini bukan serangan terhadap Sanusi secara peribadi, tetapi teguran terhadap pentadbiran beliau,” katanya.

Menurut beliau lagi, himpunan itu berbeza dengan perhimpunan bermotifkan politik di peringkat nasional seperti ‘Himpunan Turun Anwar’ yang diadakan baru-baru ini.

“Bezanya, ‘Honggaq Kedah’ tidak membawa slogan politik atau menyeru agar Sanusi berundur secara paksa. Kami hanya menuntut penjelasan dan penyelesaian terhadap isu-isu rakyat,” katanya.

Sulaiman turut mengingatkan peserta agar mematuhi undang-undang serta tidak membawa kanak-kanak atau objek berbahaya sepanjang perhimpunan yang dijadual bermula jam 2 petang itu.

“Penyerahan memorandum dijadualkan sekitar jam 3 petang, diikuti sesi penerangan terbuka kepada rakyat bagi menjelaskan kandungan memorandum tersebut.

“Jika tiada tindakan diambil dan pelbagai alasan diberikan, rakyat Kedah berhak membuat penilaian serta menggugurkan beliau sebagai Menteri Besar dan wakil rakyat pada PRU akan datang,” katanya.

Tambah beliau, sekiranya terdapat ahli parti politik yang ingin hadir sebagai tanda sokongan, mereka dialu-alukan, namun penglibatan rasmi parti politik tidak digalakkan oleh pihak sekretariat.

Related Posts

Enam sekeluarga termasuk bayi maut, SUV bertembung lori tanah

SUNGAI PETANI – Enam sekeluarga maut termasuk seorang bayi berusia enam bulan dalam kemalangan membabitkan sebuah lori tanah dan kenderaan utiliti sukan, di Kampung Baru Pinang Tunggal, di sini hari…

Lebih lanjut

teruskan membaca
PRN Johor penentu kebangkitan BN, Zahid yakin ‘Gelombang Biru’ kembali warnai negara

ISKANDAR PUTERI – Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor disifatkan sebagai medan penting untuk membuktikan kekuatan dan kebangkitan semula Barisan Nasional (BN), sekali gus memberi isyarat bahawa “gelombang biru” berpotensi kembali…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Enam sekeluarga termasuk bayi maut, SUV bertembung lori tanah

Enam sekeluarga termasuk bayi maut, SUV bertembung lori tanah

Bukan DAP arah Aminuddin bubar DUN, itu keputusan konsensus pimpinan tertinggi PH

Bukan DAP arah Aminuddin bubar DUN, itu keputusan konsensus pimpinan tertinggi PH

PRN Johor penentu kebangkitan BN, Zahid yakin ‘Gelombang Biru’ kembali warnai negara

PRN Johor penentu kebangkitan BN, Zahid yakin ‘Gelombang Biru’ kembali warnai negara

SMK Saribas ungguli Perarakan Gawai Dayak Betong 2026

SMK Saribas ungguli Perarakan Gawai Dayak Betong 2026

Banjaran Nakawan aset strategik negara, bukan sekadar hutan – Raja Perlis

Banjaran Nakawan aset strategik negara, bukan sekadar hutan – Raja Perlis

Semua universiti termasuk IPTS perlu ada jabatan AI – PM

Semua universiti termasuk IPTS perlu ada jabatan AI – PM