
YANG di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengingatkan pihak berkuasa untuk memantau sebarang aktiviti yang boleh meningkatkan lagi tahap pencemaran udara ketika ini.
Titah baginda, situasi jerebu yang melanda negara kini berisiko menjejaskan kesihatan penduduk, khususnya golongan kanak-kanak, warga emas dan mereka yang menghidap masalah pernafasan.
“Pihak berkuasa diminta untuk terus mempertingkatkan rondaan jika terdapat aktiviti pembakaran terbuka yang boleh menjejaskan kualiti udara negara.
“Selain itu, orang ramai turut dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada susulan cuaca kering ketika ini yang berupaya meningkatkan risiko kebakaran dan jerebu,” titahnya dalam hantaran di Facebook rasmi baginda.
Sultan Ibrahim bertitah agar orang ramai sentiasa menjaga kesihatan diri serta memantau bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) daripada semasa ke semasa.
Titah baginda, ia berikutan keadaan cuaca panas dan kering boleh menyebabkan kebakaran merebak dengan cepat.
Sementara itu, semakan menerusi laman sesawang Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS), Jabatan Alam Sekitar (JAS) hari ini mendapati sebanyak 64 stesen pemantauan di seluruh negara merekodkan bacaan IPU pada tahap sederhana, manakala empat stesen lagi berada dalam kategori baik.
Setakat ini, tiada kawasan yang mencatat bacaan IPU sangat tidak sihat atau berbahaya.
Media sebelum ini melaporkan jerebu rentas sempadan didapati sedang melanda beberapa negeri pantai barat Semenanjung Malaysia.
Memetik laporan Harian Metro, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata, laporan dikeluarkan oleh Asean Specialized Meteorological Centre (ASMC) mendapati terdapat 79 titik panas di kawasan Sumatera.
Menurutnya, ia berkemungkinan menjadi punca kepada keadaan berjerebu di Malaysia yang dibawa oleh tiupan angin barat daya.







