Kalau anak jantan, Nassuruddin perlu angkat sumpah dakwaan peruntukan Azizi

PUTRAJAYA – Dakwaan bahawa bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim sudah menggunakan 10 peratus atau RM72,000 daripada peruntukan Negeri Kelantan adalah pembohongan kerajaan Pas tanpa fakta tepat.

Mohd Azizi ketika dihubungi menegaskan penjelasan daripada kerajaan negeri sebanyak RM700,000 hanyalah lakonan dan wayang terbesar daripada Pas, berikutan kewangan itu perlu mendapat ‘restu’ daripada beberapa Exco Kelantan.

“Peruntukan RM700,000, memang ada, tapi untuk mendapatkannya perlu melalui beberapa Exco negeri. Persoalannya adakah Exco itu menerima kehadiran saya selaku wakil rakyat di situ?

“Peruntukan yang ada mereka tak bagi kat saya, bagi kepada orang Pas, Yang Dipertua (YDP) kawasan, Timbalan YDP kawasan, Ketua Muslimat Pas.

“Jadi saya minta Menteri Besar Kelantan untuk rujuk Timbalan YDP Pas kawasan Nenggiri (Mohd Sidek @ Mohd Saupi Abd Razak) dan tanya, berapa pek beras dia beri kepada saya sejak saya jadi ADUN Nenggiri,” katanya, hari ini.

Sehubungan itu, beliau mencabar Mohd Saupi dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud untuk sama-sama bersumpah di masjid bagi membuktikan perbuatan kepimpinan Kelantan benar atau sebaliknya.

“Saya juga cabar dia (Mohd Saupi) bersama Menteri Besar untuk kita sama-sama bersumpah di masjid, pilih saja mana-mana masjid dan beritahu berapa pek beras dia beri kepada saya.

“Jadi yang saya pertikai adalah peruntukan itu untuk DUN dan saya sebagai ADUN, tetapi fungsi kerja diberikan kepada orang Pas di DUN Nenggiri untuk laksana, rakyat kawasan saya orang susah saya boleh nak tolong sebab Pas nafikan kuasa saya,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Azizi berkata, beliau memahami tiada peruntukan diterima sebagai ahli Parlimen pembangkang, namun mempersoalkan kenapa peruntukan tidak sampai kepadanya sebagai ADUN kerajaan dan wakil rakyat Pas di Nenggiri.

“Contoh tular di TikTok Muslimat Pas kata peruntukan untuk membantu golongan wanita sudah diberi, difahamkan peruntukan itu banyak, lebih RM300,000 daripada keseluruhan peruntukan itu RM700,000 itu.

“Tapi senarai penerima ikut senarai diberi muslimat Pas, cek bayaran masuk akaun Muslimat, jadi mana fungsi saya sebagai wakil rakyat?

“Sebab itu saya rasa macam semak, sebab saya selaku ADUN Pas daripada Bersatu, tetapi saya tidak diberi peranan kerja dan melaksana tugas saya,” katanya. 

Terdahulu, Nassuruddin memaklumkan Mohd Azizi sudah disalurkan dengan peruntukan lebih RM700,000 oleh Kerajaan Kelantan bagi membangunkan kawasan diwakilinya.

Beliau mendedahkan, daripada jumlah dana yang diperuntukkan itu, Azizi hanya menggunakan kira-kira RM72,000.

Katanya, jumlah yang dimanfaatkan bekas ADUN itu adalah kira-kira 10 peratus daripada peruntukan disediakan iaitu sebanyak RM713,500.

Ia susulan kenyataan terdahulu Azizi yang mendakwa beliau dinafikan hak ketika menjadi ADUN di kerusi berkenaan, selain tidak pernah menerima sebarang peruntukan daripada kerajaan negeri.

Beliau yang diisytiharkan hilang keahlian Bersatu pada 13 Jun lalu, turut mencabar pimpinan Pas mengemukakan bukti bahawa beliau menerima peruntukan sehingga menggelarkan dirinya tamak.

Related Posts

PH akan teliti mesej Kongres PKR, Persidangan DAP – Fahmi

PUTRAJAYA – Pakatan Harapan (PH) akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat bagi meneliti beberapa perkara yang dibangkitkan pada Kongres Nasional PKR dan Persidangan Kebangsaan DAP. Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri…

Lebih lanjut

teruskan membaca
RM57.5 bilion dalam separuh tahun, KWSP catat lonjakan 48 peratus

KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan pendapatan pelaburan RM57.50 bilion bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2026, meningkat 48 peratus berbanding RM38.92 bilion dalam tempoh sama…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

RM1.57 bilion perkukuh pembangunan kesihatan Sabah

RM1.57 bilion perkukuh pembangunan kesihatan Sabah

PH akan teliti mesej Kongres PKR, Persidangan DAP – Fahmi

PH akan teliti mesej Kongres PKR, Persidangan DAP – Fahmi

Polis sahkan kedai emas Genting Highlands dirompak

Polis sahkan kedai emas Genting Highlands dirompak

LDP Sandakan sedia rebut semula kepercayaan pengundi

  • By Fandi
  • August 17, 2026
LDP Sandakan sedia rebut semula kepercayaan pengundi

RM57.5 bilion dalam separuh tahun, KWSP catat lonjakan 48 peratus

RM57.5 bilion dalam separuh tahun, KWSP catat lonjakan 48 peratus

MBSA sedia 300 hidangan percuma di Seksyen 24 esok

MBSA sedia 300 hidangan percuma di Seksyen 24 esok