
KETIADAAN pucuk pimpinan atau mana-mana wakil Pas pada sesi perbincangan antara Bersatu dengan 11 ketua parti blok bukan kerajaan baru-baru ini telah mengundang pelbagai persepsi berhubung jalinan kerjasama Perikatan Nasional (PN).
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, dakwaan Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz bahawa Pas telah diundang namun tidak dapat hadir membuktikan seolah-olah gabungan dua parti itu tidak lagi sehaluan.
“Soalnya kenapa Pas tidak boleh hantar wakil kalau santai bantai itu penting? Pas tidak hadir kerana jemputan oleh Bersatu terhadap Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai) yang digagaskan P Ramasamy dan Parti Kemajuan Malaysia (MAP) di bawah P Wytha Morthy.
“Kedua-dua parti ini tegar menyokong Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang ditentang oleh Pas. Itu mungkin punca Pas tidak dijemput. Kalau dijemput pun Pas tidak akan datang,” katanya dalam hantaran di Facebook beliau, hari ini.
Malah katanya, pertemuan itu juga tidak diputuskan oleh Majlis Tertinggi PN sekaligus menyebabkan Pas bertindak untuk tidak menghantar wakil.

“Pelik juga kerana resolusi pertemuan di kedai kopi itu akan dibentang dalam mesyuarat PN. Adakah itu bermakna mesyuarat di kedai kopi dianggap ‘kelas kedua’ kerana dihadiri oleh parti nyamuk?
“Hebat Bersatu. Kerana gagal dapat DAP, memperoleh sokongan daripada P Ramasamy dan Wytha Morthy sahaja pun sudah memadai sebagai ganti,” katanya.
Jumaat lalu, Pengerusi Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan telah mengadakan perbincangan bersama 11 ketua parti blok bukan kerajaan bagi mendapatkan pandangan mengenai cadangan penubuhan sebuah barisan rentas parti yang mengambil pendirian bersama dalam hal-hal menyentuh kepentingan rakyat dan negara.
Selain Presiden MAP dan Urimai, turut hadir adalah Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai; Presiden Parti Makkal Indian People (MIPP), Punithan Paramsiven; Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Datuk Ibrahim Ali.
Antara lainnya, Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM), S Arutchelvan; Pemangku Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Amira Aisya Abd Aziz; Ketua Belia Parti Progresif Penduduk Malaysia (PPP), Sathiah Sudakaran dan Presiden Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Zamani Ibrahim.








