
MIRI — Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi berangkat menghadiri Majlis Kesyukuran sempena Hari Sarawak 2025 yang berlangsung di Masjid At-Taqwa, Miri pada Isnin malam.
Ketibaan pasangan kenamaan tersebut sekitar jam 6.30 petang disambut mesra oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan bersama barisan kepimpinan negeri dan tetamu kehormat.
Turut serta Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti SarawakDatuk Seri Fatimah Abdullah; Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi; serta Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak Sarawak, Datuk Rosey Yunus.
Hadir sama Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak Datuk Len Talif Salleh; Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Dr Annuar Rapaee; serta Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail.
Majlis turut dihadir Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni; Peguam Besar Sarawak, Datuk Seri Saferi Ali; dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Datuk Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel bersama ketua-ketua jabatan serta jemputan khas lain.
Acara dimulai dengan solat Maghrib berjemaah, diikuti bacaan Surah Yaasin dan doa kesyukuran yang dipimpin Imam Besar Negeri Sarawak, Sahibul Fadillah Dato Mustapha Kamal Ahmad Fauzi.
Majlis turut disemarakkan dengan persembahan zikir marhaban oleh Gabungan Kumpulan Zikir Bahagian Miri yang menyerikan suasana dan membangkitkan rasa syukur serta kebersamaan.
Selepas solat Isyak berjemaah, para hadirin dijamu dengan santapan malam yang turut dihadiri oleh tetamu bukan beragama Islam sebagai simbol semangat perpaduan dan muafakat seperti yang digariskan dalam dasar ‘Segulai Sejalai’ kerajaan Sarawak.
Foto: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)





