KUANTAN – Seorang buruh binaan warga Indonesia yang hilang selepas terjatuh dari bot ketika keluar memancing udang di Sungai Lengkor, dekat Pekan, ditemui lemas pagi tadi.
Mayat mangsa dikenali sebagai Fahrol, 37, ditemui penduduk kampung kira-kira jam 9.10 pagi, kira-kira 30 kilometer dari tempat dia dilaporkan jatuh.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Mohd Zaidi Mat Zin berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Pekan untuk proses bedah siasat.
Menurutnya, pihak polis menerima laporan berhubung kejadian tersebut pada jam 4.40 petang semalam.
“Laporan polis dibuat seorang kontraktor warga tempatan di Balai Polis Paloh Hinai.
“Berdasarkan maklumat pengadu berusia 46 tahun itu, dia bersama mangsa dan dua rakan lain – yang juga warga Indonesia – keluar kira-kira jam 1 tengah hari menaiki bot untuk memancing udang di Sungai Lengkor.
“Apabila tiba di kawasan berhampiran Kampung Sungai Pinang, bot dipandu pengadu terlanggar batang kayu menyebabkan kesemua mereka terpelanting ke dalam sungai,” katanya.
Mohd Zaidi berkata, pengadu bersama dua rakannya sempat naik semula ke atas bot manakala mangsa didapati hilang.
“Susulan kejadian itu, pengadu bersama rakan-rakannya cuba mencari mangsa di dalam sungai dan kawasan sekitar, namun gagal menjumpainya.
“Mereka kemudiannya hadir ke Balai Polis Paloh Hinai untuk membuat laporan bagi mendapatkan bantuan,” katanya lagi.





