
SARATOK – Sungai Krian sekali lagi menyaksikan dominasi Pasukan Todak Berjaya, milik Pansari Kalaka, apabila muncul juara bagi acara utama Bidar 30 dalam Regata Kalaka 2025, menjadikan kemenangan ini sebagai kejuaraan kali ketiga berturut-turut selepas menjuarai edisi 2023 dan 2024.
Pasukan tersebut membuktikan keunggulan apabila meninggalkan pencabar jauh ke belakang, seakan berlayar solo ke garisan penamat, sekali gus terus mengukuhkan gelaran Raja Sungai.
Kemenangan bergaya itu membolehkan mereka membawa pulang wang tunai RM16,500 serta menjulang Piala Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Lebih manis, tempat kedua turut dimenangi pasukan ‘adik’ mereka, Putera Todak milik D’Prauk Café, yang turut mempamerkan kayuhan mantap dan tersusun, seterusnya meraih wang tunai RM9,900 beserta piala.
Tempat ketiga pula menjadi milik Burung Garuda, pasukan milik Sabini Awi, yang membawa pulang RM4,400 dan piala.
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri, dalam suasana penuh sorakan dan sorai penyokong yang membanjiri tebing Sungai Krian.





