
GUA MUSANG – “Tandak ini bantuan Kesedar, kerajaan negeri tolong rosakkan lagi ada,” kata Pengerusi Jawatankuasa Air Tandak Kawasan Jerek, Wan Zahari Wan Haron.
Tandak merupakan bahasa tempatan yang bermaksud kawasan tadahan atau binaan bagi sekatan air bukit sebelum disalurkan ke rumah penduduk dan ia adalah sumbangan serta usaha Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) bagi kemudahan penduduk.
Menurut Wan Zahari, sejak sekian lama penduduk Kampung Jerek yang terdiri daripada lebih 300 buah rumah menggunakan sumber air bukit sebagai bekalan air bagi kegunaan harian mereka termasuk beberapa kampung lain berhampiran yang bergantung dengan tandak di kampung mereka.
Katanya, sebelum ini tidak pernah timbul masalah air keruh walaupun musim hujan namun sejak tiga bulan kebelakangan ini ia agak kerap berlaku dan makan masa lama untuk ia pulih.
“Kalau tiada pembalakan berhampiran tandak, air hanya sekadar kotor disebabkan daun-daun tapi tidak keruh tapi sebab ada pembalakan ini air jadi keruh lain macam seperti teh tarik dan berkeladak atau berlumpur.
“Penapis air yang kami gunakan di rumah juga tidak boleh menapis dan jika teruk sangat boleh rosak, kami juga terpaksa gunakan air mineral sebagai minuman atau untuk memasak,” katanya.

Sebulan sekali beliau bersama AJK Air Tandak Kampung Jerek akan ke kawasan tandak untuk mencuci bagi melancarkan aliran air selain mengelakkan ia tersumbat.
“Tandak ini amat berguna bagi penduduk setempat dan ia adalah bantuan daripada Kesedar, kerajaan negeri pula tolong rosakkan dengan pembalakan,” katanya.
Dalam pada itu, seorang penduduk, Zulkapli Isa, 57, turut mengakui sebelum ini air yang dibekalkan ke rumah jernih namun sekarang ia sudah keruh selepas ada kawasan pembalakan.
“Sebelum ini kami pernah tentang dan minta tauke balak turun hentikan usaha pembalakan tapi kami dapat tahu mereka masuk ikut jalan lain.
“Kami mahu ia terus dihentikan sebab ia memberi kesan kepada bekalan air. Ada kala kami terpaksa guna air mineral untuk memasak dan minum, penapis yang kami beli ni tak boleh nak tapis kalau terlalu keruh,” katanya.








