
MUAR – Polis tidak menolak kemungkinan suspek lelaki yang diburu kerana disyaki membunuh kedua ibu bapa dan anak saudaranya sebelum kediaman mereka dibakar masih berada di daerah berhampiran.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, suspek Azman Mohamed, 48, dipercayai berada di Johor bersama kenderaan motosikal yang digunakannya.

“Berdasarkan maklumat, suspek melarikan diri sejurus dipercayai membunuh tiga ahli keluarganya sebelum membakar rumah dengan menaiki motosikal jenis Honda Wave berwarna merah.
“Polis tidak menolak kemungkinan suspek bersembunyi di daerah berdekatan namun masih berada di Johor,” katanya ketika dihubungi.
Raiz Mukhliz berkata, hasil semakan rekod jenayah mendapati suspek tidak memiliki rekod jenayah lampau.
Terdahulu, media melaporkan, tiga sekeluarga maut apabila rumah didiami mereka musnah terbakar dalam kejadian di Jalan Sekolah, Kampung Paya Redan, Pagoh.
Dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, sepasang suami isteri warga emas dan cucu perempuan mereka maut manakala seorang lagi cucu cedera.
Mangsa yang maut di lokasi kejadian ialah Mohamed Nor Mohamed Yassin, 82, dan Ara Abdul Hamid, 76.
Seorang lagi kanak-kanak iaitu cucu kepada pasangan berkenaan, Noradriana Nor Hisyam, 11, dilaporkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF).
Bagaimanapun semalam, polis mengklasifikasikan semula kes daripada mati mengejut kepada bunuh susulan wujudnya unsur jenayah ke atas ketiga-tiga mangsa.
Berikutan itu, polis kini berusaha menjejaki anak kepada warga emas berkenaan, Azman selepas dikesan melarikan diri dari kediaman tersebut ketika insiden malang itu berlaku.







