Projek Inklusif Digital NADI Malaysia menang Anugerah WSIS 2025

GENEVA – Projek Inklusif Digital NADI Malaysia dinobatkan sebagai juara Hadiah World Summit On The Information Society (WSIS) 2025, hasil kejayaan memperkasakan komuniti terpencil melalui pembangunan kemahiran digital dan kesalinghubungan.

Anugerah tersebut telah disampaikan kepada Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, dalam satu majlis rasmi yang berlangsung di Geneva, Switzerland.

Inisiatif NADI Pulau Banggi telah memenangi kategori C4: Pembangunan Keupayaan (Capacity Building) hasil pelaksanaan latihan kemahiran digital, penyediaan literasi ICT dan peluang ekonomi kepada salah satu komuniti pulau yang paling terpencil di Malaysia.

Menurut Fahmi, kejayaan ini membuktikan bahawa pendekatan digital yang inklusif mampu mengubah masa depan rakyat di kawasan luar bandar.

“Saya amat berbesar hati menerima Hadiah WSIS ini bagi pihak Malaysia. Projek Inklusif Digital NADI di Pulau Banggi mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI bahawa tiada siapa pun terpinggir dalam era digital.

“Kejayaan ini adalah milik komuniti yang telah menerima kemahiran digital demi masa depan yang lebih baik, serta kepada seluruh rakyat Malaysia yang mendukung visi negara yang inklusif dan terhubung,” katanya selepas majlis penyampaian di Geneva, Switzerland.

Dalam kenyataan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata, WSIS yang dianjurkan oleh Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) dengan kerjasama agensi-agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), memberi pengiktirafan kepada projek-projek teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang menyokong kemajuan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Pulau Banggi, yang terletak kira-kira 70 kilometer dari Kudat, Sabah dan hanya boleh diakses melalui feri atau bot laju, menempatkan kira-kira 20,000 penduduk yang majoritinya bergantung kepada sektor perikanan, kelapa sawit dan getah.

Namun begitu, kedudukannya yang terpencil telah lama menghadkan akses kepada pendidikan, penjagaan kesihatan dan pembangunan ekonomi.

Melalui Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), inisiatif NADI telah mewujudkan sebuah hab digital komuniti yang menyediakan Internet berkelajuan tinggi serta latihan ICT kepada golongan nelayan, petani, pelajar dan pemilik perniagaan kecil.

Pendekatan ini membolehkan mereka bersaing dalam landskap ekonomi digital masa kini.

Impak projek ini telah mula dirasai secara menyeluruh, belia memperoleh kemahiran ICT, wanita memulakan perniagaan mikro dalam talian dan usahawan tempatan berjaya meluaskan pasaran mereka.

Berikutan kejayaan ini, projek NADI sedang diperluas ke kawasan lain yang kurang mendapat liputan termasuk Pulau Mandi Darah, dengan sasaran peluasan ke seluruh negara menjelang tahun 2035 melalui pelaksanaan modul latihan berskala, pembangunan hab komuniti digital dan sokongan pembiayaan jangka panjang, khususnya di Sabah dan Sarawak.

Dalam perkembangan berkaitan, Projek Stingray II di Pulau Ketam turut mencatat pencapaian cemerlang apabila diumumkan sebagai johan kategori C2: Infrastruktur Maklumat dan Komunikasi (Information and Communication Infrastructure).

Projek ini telah berjaya menyediakan sambungan gentian optik dasar laut sepanjang 46.4 kilometer dari Kapar ke Pulau Ketam, sekali gus membuka peluang kepada pelajar mengikuti pembelajaran dalam talian, keluarga menikmati akses kepada perkhidmatan teleperubatan dan perniagaan kecil berkembang dalam ekonomi digital.

Kejayaan Malaysia memenangi dua anugerah utama WSIS 2025 mengukuhkan komitmen negara terhadap prinsip kesaksamaan digital, iaitu memastikan tiada rakyat yang tertinggal, walaupun berada di kawasan paling terpencil.

Projek NADI bukan sekadar inisiatif pembangunan teknologi, sebaliknya merupakan manifestasi iltizam kerajaan dalam menjamin peluang digital yang saksama dan menyeluruh kepada semua lapisan masyarakat.

Pengiktirafan ini sekali gus menegaskan kedudukan NADI sebagai antara program inklusif digital paling berimpak dan berkesan di dunia.

Related Posts

Anwar akui kebimbangan pameran, tegaskan kepentingan sektor pertahanan

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui wujud kebimbangan mengenai penganjuran pameran aset dan teknologi pertahanan terutama berkait persenjataan yang boleh membawa kemusnahan. Bagaimanapun, beliau yang juga…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Anwar seru kerjasama pertahanan, aeroangkasa Malaysia mampu diperhebat

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru negara luar untuk menjadi rakan kongsi Malaysia dalam industri pertahanan kerana negara ini mengamalkan dasar berkecuali. Beliau yang juga Menteri…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Sidang DUN ditangguh, perlu masa perkemas pentadbiran – MB Perlis

Sidang DUN ditangguh, perlu masa perkemas pentadbiran – MB Perlis

Kg Bahagia akan dibangunkan semula sebagai perkampungan sah

Kg Bahagia akan dibangunkan semula sebagai perkampungan sah

Anwar akui kebimbangan pameran, tegaskan kepentingan sektor pertahanan

Anwar akui kebimbangan pameran, tegaskan kepentingan sektor pertahanan

Anwar seru kerjasama pertahanan, aeroangkasa Malaysia mampu diperhebat

Anwar seru kerjasama pertahanan, aeroangkasa Malaysia mampu diperhebat

Malaysia kekal tidak berpihak, mahu pembekal negara tembusi bekalan antarabangsa

Malaysia kekal tidak berpihak, mahu pembekal negara tembusi bekalan antarabangsa

Aliran bon Malaysia merekodkan RM7.9 bilion, tertinggi dalam tempoh 10 bulan

Aliran bon Malaysia merekodkan RM7.9 bilion, tertinggi dalam tempoh 10 bulan