MINDA TOK ABAH: Mentakrif perjuangan mahasiswa

MAHASISWA bukan sekadar pelajar yang menimba ilmu di menara gading. Mereka adalah nadi perubahan sosial, barisan hadapan dalam perjuangan menuntut keadilan, dan suara hati nurani rakyat.

Dalam sejarah panjang politik Malaysia, gerakan mahasiswa telah membuktikan bahawa mereka mampu mencorak halatuju negara, memimpin kesedaran massa, dan mencetuskan gelombang reformasi.

Dari era 1970-an hingga ke Reformasi 1998, mahasiswa menjadi trend setter dalam melawan ketidakadilan. Hari ini, mereka terus bangkit. Dan kebangkitan ini perlu diraikan.

Namun, di tengah-tengah semangat juang yang membara, muncul pula satu persoalan besar yang perlu direnungi bersama: adakah cara mahasiswa menyuarakan pendirian hari ini benar-benar mewakili suara seluruh mahasiswa?

Apakah tindakan simbolik yang ekstrem seperti membakar patung pemimpin dan melontar kata-kata kesat adalah suara majoriti yang mahu perubahan berhemah, atau sekadar luapan emosi segelintir yang kecewa?

Mahasiswa ialah generasi intelektual yang seharusnya tampil dengan keberanian yang bijaksana. Keberanian bukan semata-mata dalam jeritan di jalanan, tetapi juga dalam keupayaan berhujah, memimpin wacana, dan menawarkan solusi.

Dalam konteks demokrasi matang, suara mahasiswa sangat penting — tetapi ia mesti disalurkan secara strategik dan berintegriti agar tidak ditenggelami oleh persepsi negatif.

Sebagai contoh, Himpunan Gempur Rasuah Sabah 2.0 yang menyaksikan aksi membakar patung Perdana Menteri dan penggunaan kata-kata kesat mencetuskan pelbagai reaksi.

Aksi itu mungkin mencerminkan kemarahan dan kekecewaan sebahagian mahasiswa, tetapi ia juga membuka ruang kepada pihak yang mahu memperlekeh perjuangan ikhlas mahasiswa.

Tindakan sebegitu tidak membantu memperkukuh kredibiliti gerakan, malah memberi peluru kepada mereka yang mahu menuduh mahasiswa sebagai tidak berdisiplin dan tidak tahu adab bersuara.

Sebaliknya, perjuangan mahasiswa tidak harus kehilangan arah daripada semangat asalnya — yakni memperjuangkan nasib rakyat marhaen, menuntut ketelusan, dan mempertahankan keadilan sosial.

Dalam hal ini, tokoh seperti Anwar Ibrahim semasa zaman mahasiswa boleh dijadikan teladan.

Beliau turun ke lapangan, mendengar rintihan petani dan golongan miskin, memimpin gerakan dengan hujah dan nilai.

Tiada patung dibakar. Tiada kata kesat.

Namun perjuangan beliau tetap menggegarkan sistem, menggugat status quo dan memberi kesan besar kepada politik negara.

Kebangkitan mahasiswa harus dilihat sebagai isyarat bahawa generasi muda tidak rela menjadi penonton. Mereka mahu didengar. Mereka mahu dihormati. Maka, suara itu perlu terus diberikan ruang.

Tetapi dalam masa yang sama, mahasiswa juga harus bertanya kepada diri mereka sendiri: apakah bentuk suara yang mahu dibawa? Apakah cara yang kita guna mewakili suara majoriti mahasiswa? Atau adakah kita hanya memperlihatkan bentuk kemarahan yang tidak membawa makna kolektif?

Sejarah telah mengajar kita bahawa perubahan besar boleh dimulakan oleh sekelompok anak muda yang berani.

Namun sejarah juga menunjukkan bahawa tanpa kebijaksanaan dan nilai, perubahan itu boleh diperalat dan diseleweng.

Maka mahasiswa harus terus bangkit, bersuara, dan mencabar status quo – tetapi dengan cara yang membina, bukan meruntuhkan.

Kerajaan MADANI hari ini, telah menunjukkan komitmen terhadap demokrasi dengan memansuhkan akta permit untuk perhimpunan. Ini adalah bukti bahawa Malaysia masih meraikan kebebasan bersuara dan hak untuk berprotes.

Namun, mahasiswa perlu bijak dalam menggunakan ruang ini untuk memperjuangkan isu-isu yang benar-benar membawa manfaat kepada rakyat.

Malaysia memerlukan mahasiswa yang berani tetapi waras, lantang tetapi santun, progresif tetapi berprinsip.

Suara mahasiswa perlu terus bergema, tetapi biarlah gema itu membawa harapan, bukan sekadar kemarahan. Demi masa depan bangsa, biarlah suara mahasiswa menjadi cahaya yang memandu, bukan api yang membakar tanpa arah.

*Datuk Ismail Yusop ialah Ketua Pengarah
Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM)

Related Posts

MINDA TOK ABAH: Tanggungjawab dan keberanian negarawan insani

KITA telah berbicara tentang seorang negarawan yang tidak pernah benar-benar menjauh daripada rakyat. Negarawan yang memahami politik bukan sekadar sebagai permainan kuasa, tetapi sebagai perjalanan panjang yang dibentuk oleh pengalaman.…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Rasionalisasi penyelarasan perbelanjaan kerajaan

SELARAS dengan keadaan semasa geopolitik dunia dan krisis di Asia Barat, Kerajaan MADANI berani mengambil pendekatan perlu dan kritikal iaitu menyelaraskan semula perbelanjaan kerajaan. Penyelarasan ini sebenarnya sederhana, tetapi sengaja…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Sentuhan Bibiq jadi legasi, 3 sepupu kekalkan citarasa masakan payau

Sentuhan Bibiq jadi legasi, 3 sepupu kekalkan citarasa masakan payau

Projek Sistem Air Akut Rantau Panjang capai tahap 33 peratus siap

Projek Sistem Air Akut Rantau Panjang capai tahap 33 peratus siap

Skuter rondaan perkukuh pencegahan jenayah taman rekreasi, fokus lindungi warga emas

Skuter rondaan perkukuh pencegahan jenayah taman rekreasi, fokus lindungi warga emas

Maritim Semporna tegas perangi jenayah ekosistem marin

Maritim Semporna tegas perangi jenayah ekosistem marin

Harga lantai padi RM3,000 beri kesan harga beras – Dr Ismail

Harga lantai padi RM3,000 beri kesan harga beras – Dr Ismail

Rayuan ditolak, bekas suami Jahidah dipenjara 14 tahun

Rayuan ditolak, bekas suami Jahidah dipenjara 14 tahun