Rakyat Malaysia di Perancis miliki peranan, bakat menyumbang kepada negara

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pertemuan bersama warga Malaysia di Perancis membuka ruang perbincangan yang bermakna mengenai peranan dan sumbangan mereka dalam pembangunan negara.

Beliau memaklumkan, Malaysia amat bergantung kepada bakat muda untuk mencorak masa depan yang lebih cemerlang dan berdaya saing.

“Saya menasihati mereka agar menuntut ilmu dengan penuh kesungguhan, kerana kejayaan dalam apa jua bidang bukan sekadar pencapaian peribadi, tetapi juga satu tanggungjawab untuk menyumbang kepada keluarga, masyarakat dan negara.

“Malaysia memerlukan generasi muda yang cemerlang, berprinsip dan bersedia memikul amanah besar. Jadilah ejen perubahan yang akan menerajui kemajuan negara ke arah masa depan yang lebih gemilang,” katanya menerusi hantaran Facebook miliknya, pada Jumaat.

Sementara itu, Anwar ketika berucap pada majlis perjumpaan itu mengharapkan penglibatan berterusan yang terjalin antara Malaysia dan Perancis akan memberi manfaat kepada negara untuk jangka masa panjang.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, hasrat itu akan dibincangkan dalam pertemuan beliau bersama Presiden Emmanuel Macron sempena lawatan rasmi beliau ke negara berkenaan.

“Kita akan mencari jalan untuk meneroka perkara ini. Sebenarnya kita sudah mengembangkan ikatan (bersama Perancis) selama ini, daripada tidak hanya membeli produk seperti kapal terbang tetapi juga membekalkan bahan untuk pembuatan (mereka),” katanya.

Dalam pada itu, Anwar menegaskan Malaysia terus menjadi destinasi utama untuk industri berteknologi tinggi seperti elektrik dan elektronik.

“Pada masa lalu, kita (Malaysia) membeli banyak kapal terbang daripada Airbus dan Boeing. Kini kita ada syarikat yang menghasilkan bahagian untuk pembuatan pesawat ini di Malaysia,” katanya.

Anwar dijadual mengadakan pertemuan bersama Macron di Istana Élysée, dengan beberapa agenda utama termasuk perdagangan, pelaburan, tenaga boleh diperbaharui, semikonduktor, pertahanan, pendidikan, ekonomi digital dan kecerdasan buatan (AI) dijangka dibincangkan.

Kedua-dua pemimpin juga dijangka membincangkan krisis di Asia Barat khususnya berkaitan krisis kemanusiaan di Gaza.

Perancis kekal sebagai satu daripada lima rakan perdagangan utama Malaysia dalam kalangan negara Kesatuan Eropah.

Pada 2024, perdagangan dua hala kedua-dua negara berjumlah RM15.95 bilion (AS$3.63 bilion), dengan RM6.26 bilion (AS$1.49 bilion) direkodkan antara Januari dan Mei tahun ini.

Selepas lawatan ke Perancis, Anwar akan berlepas ke Brazil bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS yang akan berlangsung esok sehingga Ahad.

Related Posts

Kerajaan akan pinda Akta Tabung Haji, mansuh AUKU sepenuhnya – Anwar

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan meminda Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535) bagi memperkukuh tatakelola institusi berkenaan serta memastikan amanah umat Islam terus dipelihara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Stabiliti politik penting untuk kesinambungan pembangunan ekonomi – Tian Chua

AYER KEROH – Kestabilan politik perlu terus dipelihara bagi memastikan kesinambungan pembangunan ekonomi negara, terutama ketika Malaysia berdepan ketidaktentuan geopolitik global, kata bekas Naib Presiden PKR, Tian Chua. Beliau berkata,…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Harimau Malaya tumbang 0-2 di tangan Vietnam

Harimau Malaya tumbang 0-2 di tangan Vietnam

Kerajaan akan pinda Akta Tabung Haji, mansuh AUKU sepenuhnya – Anwar

Kerajaan akan pinda Akta Tabung Haji, mansuh AUKU sepenuhnya – Anwar

Stabiliti politik penting untuk kesinambungan pembangunan ekonomi – Tian Chua

Stabiliti politik penting untuk kesinambungan pembangunan ekonomi – Tian Chua

Akar umbi yakin PKR terus perkukuh demokrasi, kepemimpinan parti

Akar umbi yakin PKR terus perkukuh demokrasi, kepemimpinan parti

AUKU langkah ke hadapan, kemenangan besar mahasiswa – Taufiq Johari

AUKU langkah ke hadapan, kemenangan besar mahasiswa – Taufiq Johari

RM80,000 perkasa peluang ekonomi komuniti OKU Perak

RM80,000 perkasa peluang ekonomi komuniti OKU Perak