
TINDAKAN kerajaan menyemak semula Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bukan satu tindakan yang tergesa-gesa, kata Datuk Fahmi Fadzil.
Sebaliknya, Menteri Komunikasi itu menegaskan, ia telah dibincangkan sejak dua minggu lalu.
Jelasnya, perbincangan mengenai perkara itu bermula daripada draf yang telah dibentangkan oleh Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Ekonomi kepada Jemaah Menteri.
“Kita sebenarnya telah berbincang, dalam sidang media saya beberapa minggu lalu telah sebut bahawa Perdana Menteri telah minta setiap kementerian untuk meneliti draf yang telah dibentangkan oleh KSU Kementerian Ekonomi. Ini jauh sebelum ‘tweet’ dan sebagainya.
“Seperti yang umum sedia maklum, sebarang dasar program ataupun keputusan yang dibuat, pertama mesti dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri.
“Maka Perdana Menteri telah minta supaya pada Jumaat minggu lalu, semua kementerian meneliti draf dan menulis kepada Kementerian Ekonomi dengan maklum balas,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Nadi Aspirasi Nasional Bersama Anak Muda (NANBA) anjuran Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) di Dewan Merbau, IWK Eco Park @ Pantai Dalam, Kuala Lumpur, hari ini.
Terdahulu, Bekas Meneri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli mempersoalkan sama ada keputusan kerajaan untuk ‘mengolah dan merombak semula’ RMK13 adalah reaksi tergesa-gesa terhadap kritikan media sosial yang ditujukan kepada Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Ia susulan pengumuman Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar semalam. yang memaklumkan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan telah ditugaskan untuk “mengolah dan merombak semula” RMK13 sambil menjalankan tugas dan fungsi Menteri Ekonomi berkuat kuasa serta-merta.
Fahmi berkata, satu sidang khas Jemaah Menteri telah diadakan pada Isnin, awal minggu lepas untuk meneliti pandangan daripada semua kementerian.
“Dalam mesyuarat itu telah dilihat bahawa banyak perkara yang telah diminta oleh kementerian-kementerian yang perlu diambil kira oleh Kementerian Ekonomi dalam membentuk dokumen RMK13.
“Itulah antara sebab kenapa Jemaah Menteri pada Rabu lalu, mesyuarat yang terakhir, telah memutuskan bahawa Datuk Seri Amir Hamzah, diminta untuk menggalas tugas dan fungsi Menteri Ekonomi,” katanya.








