
KOTA BELUD – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melaksanakan inisiatif khas menjejaki pelajar daripada keluarga B40 yang ditawarkan ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), Politeknik dan Kolej Komuniti, tetapi belum mengesahkan tawaran tersebut meskipun turut menerima bantuan Dermasiswa B40 secara automatik.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts Mustapha Sakmud berkata, seramai 9,532 tawaran di seluruh negara namun hanya lebih kurang 3,000 yang menerima dan bakinya perlu dijejaki.
“Jadi itu yang kita buat dulu model di daerah Kota Belud ini supaya kita boleh aplikasikan ke daerah-daerah lain di Sabah dan juga seluruh negara.
“Kita mahu jejaki ke mana yang 6,000 ini. Kenapa mereka tidak mengesahkan? Kita takut mereka tidak faham. Tidak perasan pun dia ada tawaran Dermasiswa.
“Ini merupakan inisiatif kita di peringkat kementerian supaya kita boleh sedarkan masyarakat, ibu bapa dan pelajar supaya mereka lihat kembali surat tawaran mereka, sahkan tawaran dan di situ mereka ada tawaran, pilihan bahawa mereka ada terima Dermasiswa B40,” katanya.


Beliau berkata demikian semasa ditemui media sempena Program Penyerahan Surat Tawaran Kemasukan Ke Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Kepada Bakal Mahasiswa Sabah bagi daerah Kota Belud, pada Sabtu.
Inisiatif tersebut mendapat kerjasama melalui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA (UPU), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Yayasan Perkasa Siswa (YPS) termasuk Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Belud di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia untuk menjejaki golongan B40 dari rumah ke rumah.
Jelasnya, inisiatif ini merupakan yang pertama seumpamanya, sekali gus mencerminkan keprihatinan Kerajaan MADANI hari ini.
“Saya fikir tidak pernah dibuat sebelum-sebelum ini. Kita menjejaki golongan ini. Ramai yang mengatakan kita tidak prihatin.
“Kementerian tidak prihatin. Kerajaan MADANI tidak prihatin kepada rakyat. Kita menunjukkan bahawa memang kita amat prihatin.
“Inilah adalah kolaborasi bersama JPA kita buat tanpa mereka meminta, kita beri Dermasiswa terutama yang golongan B40 yang ada dekat sini.
“Jadi ini satu pendekatan baharu keprihatinan kita kepada masyarakat.
“Jadi mereka amat gembira dan kita akan teruskan usaha ini supaya jangan ada yang sampai tercicir,” katanya.
Mengulas lanjut program tersebut, Mustapha berkata seramai 25 pelajar di Kota Belud layak menerima Dermasiswa, hanya lapan yang mengesahkan tawaran.
Justeru, KPT turun padang bagi menjejaki 17 kediaman pelajar lagi bagi memberi penjelasan dan galakan untuk menyambung pengajian.
“Mereka tidak faham. Ibu bapa sendiri tidak faham bahawa sebenarnya mereka dapat Dermasiswa ini walaupun tidak diminta tetapi JPA menganalisa mereka.
“Mungkin mereka tersenarai dalam E-Kasih dan itu yang terus automatik diberi Dermasiswa,” ujarnya.
Selain inisiatif Dermasiswa B40 oleh JPA, PTPTN menawarkan Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) manakala YPS menyediakan bantuan kewangan RM500 secara one-off serta bakul makanan dan peralatan kepada pelajar.






