
KABONG – Muhammad Hafiz Pelira dari Saratok dan Norhashimah Marzuki dari Kabong muncul johan qari dan qariah dalam Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Bahagian Betong 2025 yang berlangsung di Masjid Assabirin, Kabong.
Kemenangan mereka melayakkan kedua-duanya menerima hadiah wang tunai RM1,000, sijil penyertaan dan piala iringan.
Majlis anjuran Jawatankuasa Tetap Perayaan Islam Bahagian Betong dengan kerjasama Pejabat Daerah Kabong, Pejabat Agama Islam Bahagian Betong dan Jawatankuasa Pengurusan Masjid Assabirin itu berlangsung selama dua hari bermula 24 Jun lalu, melibatkan 12 peserta dari seluruh Betong.
Dalam kategori qari, tempat kedua dimenangi Mohammad Zahary Masor dari Betong, manakala tempat ketiga diraih Sulaiman Ayup, juga dari Betong.
Sementara itu, bagi kategori qariah, Nur Saidatul Hanisah Saleman dari Kabong menduduki tempat kedua, dan Rosnani Junaidi dari Saratok di tempat ketiga.
Pemenang tempat kedua dan ketiga masing-masing menerima wang tunai RM700 dan RM500 berserta sijil penyertaan dan piala iringan.
Hadiah disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Datuk Mohd Chee Kadir.
Turut hadir, Pemangku Timbalan Residen Bahagian Betong, Hamdan Katang; Pegawai Daerah Kabong merangkap Pengerusi Pengelola Majlis, Tahir Mohd Sharee; dan Pemangku Pegawai Agama Islam Bahagian Betong, Anwar Rosli.
Penganjuran majlis ini bukan sahaja mencungkil bakat baharu dalam seni tarannum dan tajwid, malah memperkukuh syiar Islam serta mengeratkan silaturahim dalam kalangan masyarakat setempat.




