PUTRAJAYA – Buah epal dan oren yang diimport dikecualikan daripada peluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST), kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikannya semalam.
“Masih ada orang mengeluh katanya orang kampung, orang miskin hendak juga makan epal dan dia kata ini orang dulu kata ‘an apple a day keep the doctor away’ tak betul itu, (ia) ‘a banana’ sebenarnya, sebab pisang potasium tinggi.
“Jadi, semalam kita (putuskan) beri kelonggaran import buah-buahan memang ada sedikit cukai tetapi dikecualikan epal dan oren,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Projek Pembangunan Kota Madani di Presint 19, hari ini.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, memaklumkan kerajaan akan meneliti semula peluasan SST beberapa komoditi import tertentu termasuk buah-buahan seperti epal dan oren.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, nilai ambang SST bagi buah-buahan berkenaan juga dinaikkan dari RM500,000 kepada RM1 juta.
“Kemudian katanya threshold (nilai ambang) untuk peniaga kecil terlalu rendah, (jadi) kita naikkan (kepada) RM1 juta kerana kita nak rakyat mesti sokong langkah ini,” katanya.
Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata, perincian mengenai perkara itu akan diumumkan kemudian.





