MARA fokus bidang pengajian selaras keperluan pasaran buruh masa hadapan

MAJLIS Amanah Rakyat (MARA) kini memberi penekanan kepada bidang pengajian yang sejajar dengan keperluan pasaran buruh masa hadapan serta matlamat pembangunan negara, menerusi strategi pendidikan dan dasar penajaan yang lebih berfokuskan kemahiran.

Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, menegaskan bahawa pemilihan bidang pengajian oleh pelajar tajaan MARA tidak boleh lagi bersandarkan kepada sentimen peribadi atau kehendak ibu bapa semata-mata, sebaliknya perlu berteraskan keperluan jangka panjang negara dan kebolehpasaran graduan.

“Itu bukan sekadar apa yang ibu bapa mahu anak mereka pelajari. Kita akan tanya, adakah bidang yang dipilih ini masih relevan dalam tempoh 10 tahun? Adakah ia membantu pelajar memperoleh pekerjaan yang bermaruah dan setaraf dengan kelayakan mereka?” katanya ketika menjadi tetamu dalam podcast Borak Harini terbitan BH, pada Jumaat.

Menurut beliau, isu utama dalam pasaran buruh negara ketika ini bukanlah semata-mata kadar pengangguran dalam kalangan graduan, tetapi lebih kepada masalah pekerjaan tidak setara, iaitu apabila graduan bekerja dalam bidang yang tidak memerlukan kelayakan yang mereka miliki.

Beliau berkata, MARA mengambil langkah proaktif dengan memperkenalkan pelbagai program strategik yang diselaraskan dengan keperluan semasa pasaran kerja, selain menjalin kerjasama rapat dengan industri bagi memastikan latihan dan pengisian akademik yang diterima pelajar benar-benar menepati kehendak sektor pekerjaan.

Tambah beliau, pendidikan tidak boleh berdiri secara berasingan daripada agenda transformasi negara, sebaliknya perlu digerakkan secara terancang bagi menyokong pertumbuhan ekonomi.

Justeru, MARA komited memastikan setiap dasar pendidikan dan penajaan yang dirangka memberi nilai tambah kepada pembangunan modal insan Bumiputera dan kesejahteraan jangka panjang negara.

Dalam pada itu, Asyraf menegaskan bahawa agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera yang menjadi teras penubuhan MARA sejak tahun 1960-an kekal menjadi nadi kepada pelaksanaan semua inisiatif dan operasi MARA sehingga kini.

Katanya, tanggungjawab tersebut bukan sahaja melibatkan pelajar di luar negara, malah turut merangkumi lebih 125,000 pelajar yang sedang mengikuti pengajian di 344 institusi pendidikan MARA di seluruh negara.

Mengulas berhubung isu penghijrahan bakat atau ‘brain drain’, beliau menjelaskan bahawa MARA bersikap fleksibel terhadap pelajar cemerlang yang berhasrat untuk memperoleh pengalaman kerja di luar negara selepas tamat pengajian.

Katanya, tidak menjadi kesalahan untuk mereka berkhidmat di luar negara asalkan komitmen untuk kembali berbakti kepada tanah air tetap dipelihara dan tanggungjawab terhadap biasiswa yang diterima dipenuhi.

“Kebanyakan rakyat Malaysia, walaupun lama berada di luar negara, tetap mahu pulang. Itu sifat semula jadi kita. Kita rindukan keluarga, makanan dan budaya. Hanya segelintir yang mahu menetap di luar negara secara kekal,” katanya.

Menurut beliau lagi, kebimbangan terhadap isu ‘brain drain’ dalam kalangan pelajar tajaan MARA adalah keterlaluan memandangkan agensi tersebut mempunyai sistem pemantauan terhadap pencapaian dan pematuhan tanggungjawab pelajar, termasuk aspek pembayaran balik pinjaman.

“Yang penting ialah tanggungjawab. Jika mereka bekerja di luar negara, mereka tetap perlu mula membayar balik pinjaman. Ada yang bayar serendah 10 peratus, bergantung kepada prestasi akademik. Kita tidak mengikat mereka, tetapi mengharapkan mereka menghormati bantuan kewangan yang telah diberikan,” jelas beliau.

Asyraf turut memaklumkan bahawa pelajar dibenarkan untuk bekerja di luar negara dalam tempoh maksimum tiga tahun selepas tamat pengajian sebelum digalakkan kembali ke tanah air bagi menyumbang kepada pembangunan negara.

Related Posts

Diesel di Semenanjung turun 30 sen kepada RM4.37 seliter

PUTRAJAYA – Harga runcit diesel di Semenanjung akan dikurangkan sebanyak 30 sen kepada RM4.37 seliter bagi tempoh 18 hingga 24 Jun 2026. Bagaimanapun, harga petrol RON97 dan RON95 kekal masing-masing…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Dua anggota tentera terkorban semasa menjalani latihan bom

SUNGAI PETANI – Malang tidak berbau telah meragut nyawa dua anggota tentera akibat kecederaan parah terkena letupan bom ketika menjalani latihan di Kem Hobart, Gurun di sini, hari ini. Dalam…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Diesel di Semenanjung turun 30 sen kepada RM4.37 seliter

Diesel di Semenanjung turun 30 sen kepada RM4.37 seliter

UNIMAP buat laporan polis dakwaan kemasukan ‘jalan belakang’

UNIMAP buat laporan polis dakwaan kemasukan ‘jalan belakang’

Anwar saran ASEAN-Rusia perluas kerjasama sektor strategik

Anwar saran ASEAN-Rusia perluas kerjasama sektor strategik

ASEAN-Rusia perluas kerjasama ekonomi menerusi pelan strategik baharu

ASEAN-Rusia perluas kerjasama ekonomi menerusi pelan strategik baharu

Tragedi Kem Hobart: 10 anggota tentera sudah terkorban semasa latihan bom

Tragedi Kem Hobart: 10 anggota tentera sudah terkorban semasa latihan bom

Misi Kasih MAMPAN singgah di FELDA Lepar Hilir 3

Misi Kasih MAMPAN singgah di FELDA Lepar Hilir 3