Isu visa AS: MARA tawar laluan baharu kepada pelajar cemerlang

MAJLIS Amanah Rakyat (MARA) memberi jaminan bahawa semua pelajar cemerlang tajaan agensi itu yang sepatutnya melanjutkan pengajian ke Amerika Syarikat (AS) akan dipindahkan ke universiti yang setaraf dunia di negara lain susulan dasar visa baharu yang diperkenalkan oleh pentadbiran Presiden Donald Trump.

Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pihaknya mengambil keputusan untuk menghentikan sementara penghantaran hampir 200 pelajar ke AS selepas mengambil kira risiko terhadap keselamatan dan masa depan pelajar berikutan ketidaktentuan dasar luar negara tersebut.

“Kita sudah berbincang dengan Majlis MARA untuk tidak merisikokan pelajar kita yang sebenarnya sudah pun bersedia. Mereka sudah melalui program persediaan di Kolej MARA selama setahun setengah,” katanya memetik laporan BH semasa menjadi tetamu dalam podcast Borak Harini di Balai Berita, Bangsar, Jumaat lalu.

Menurut beliau, walaupun Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah menerima jaminan daripada Kedutaan AS bahawa dasar baharu itu tidak akan menjejaskan pelajar antarabangsa, pihak MARA tetap memilih untuk tidak mengambil sebarang risiko terhadap pelajar-pelajarnya.

Asyraf berkata dengan polisi baharu ini, walaupun kemudian KPT menyatakan hasil perbincangan dengan Kedutaan AS memberi jaminan bahawa pelajar tidak akan terjejas, tetapi MARA tidak mahu mengambil risiko berkenaan.

Dasar tersebut dikatakan berkait dengan larangan visa terhadap pelajar yang disyaki terlibat dalam demonstrasi pro-Palestin, meskipun tiada pelanggaran akademik dilakukan.

Sehubungan itu, beliau menjelaskan, MARA mengambil langkah segera dengan memulakan proses pemindahan pelajar ke negara lain seperti United Kingdom (UK), Kanada, Australia, New Zealand, Jepun dan Korea Selatan.

“Kos pemindahan jika berlaku masalah bukan sahaja tinggi, tetapi boleh mengganggu pengajian pelajar.

“Oleh itu, kita buat keputusan untuk mengalihkan mereka ke negara-negara lain. Bahkan kita sudah memulakan proses berkenaan yang mana sebahagiannya akan ke United Kingdom (UK).

“Insya-Allah, pelajar yang kita persiapkan untuk ke AS ini memang pelajar-pelajar yang terbaik dan cemerlang yang sudahpun melalui proses penyaringan dan kita pilih yang terbaik untuk pergi ke luar negara. Jadi, tidak ada isu untuk kita alihkan mereka ke negara-negara lain,” katanya.

Dalam usaha meminimumkan kos tajaan, katanya, MARA turut berjaya memperoleh potongan yuran pengajian daripada beberapa universiti terkemuka di UK.

“Hasil lawatan kerja ke UK baru-baru ini membuahkan hasil apabila beberapa universiti menawarkan potongan yuran yang signifikan kepada pelajar MARA.

“Antara universiti terkemuka yang memberi kerjasama ialah University of Edinburgh yang menawarkan diskaun yuran hingga 20 peratus, serta University of Birmingham, University College London dan Cambridge,” katanya.

Penjimatan ini dianggarkan mampu mengurangkan kos tajaan sebanyak RM100,000 hingga RM110,000 bagi setiap pelajar sepanjang tempoh pengajian.

Tambah Asyraf, semua pelajar yang dipindahkan ke laluan baharu tetap akan ditempatkan di institusi pendidikan tinggi bertaraf dunia yang diiktiraf dan berada dalam senarai institusi pilihan MARA.

“Pelajar ini adalah antara yang terbaik, sudah melalui proses tapisan ketat dan hanya menunggu masa untuk berlepas. Jadi tidak timbul isu kualiti apabila kita ubah destinasi,” tegas beliau.

Mengulas respons pelajar yang terjejas akibat perubahan ini, beliau memaklumkan bahawa kebanyakan pelajar menunjukkan sikap positif dan terbuka terhadap penempatan semula tersebut.

“Kami utamakan bidang kritikal dan universiti berprestij. Yang penting, pelajar terus mara dan tidak terkesan dengan ketidaktentuan dasar luar. Langkah tegas ini membuktikan komitmen MARA dalam memastikan keselamatan, kebajikan dan masa depan pelajar tajaan mereka terus menjadi keutamaan,” katanya.

Related Posts

Sarawak perintis ‘AI Grid’, sasar lahir 10,000 pakar teknologi digital

KUCHING – Sarawak bersedia melakukan anjakan paradigma dalam landskap digital global dengan beralih kepada infrastruktur ‘AI Grid’ (grid kecerdasan buatan) berbanding penggunaan pusat data fizikal menjelang lima tahun akan datang. Premier Sarawak,…

Lebih lanjut

teruskan membaca
MCMC, PDRM siasat dakwaan sunting gambar Sultan Selangor

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan penyebaran serta suntingan gambar Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang dikaitkan…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Lelaki pukul isteri ada 4 rekod jenayah, kahwin 9 kali

Lelaki pukul isteri ada 4 rekod jenayah, kahwin 9 kali

Azzin Izzad pangku Ketua AMH Perlis

Azzin Izzad pangku Ketua AMH Perlis

Bantuan kewangan bukan ‘welfare state’, diberi berdasarkan kelayakan

Bantuan kewangan bukan ‘welfare state’, diberi berdasarkan kelayakan

Kebun Dapur jadi pemangkin, pinjaman tanpa faedah ganti RAER

Kebun Dapur jadi pemangkin, pinjaman tanpa faedah ganti RAER

Sarawak perintis ‘AI Grid’, sasar lahir 10,000 pakar teknologi digital

Sarawak perintis ‘AI Grid’, sasar lahir 10,000 pakar teknologi digital

Mangsa ribut, beberapa sekolah di Pendang dapat perhatian Kerajaan MADANI

Mangsa ribut, beberapa sekolah di Pendang dapat perhatian Kerajaan MADANI