KUANTAN – Seorang pesara guru berputih mata apabila wang hasil simpanan, ganjaran pencen dan pinjaman bank berjumlah lebih RM216,000 lesap diperdaya sindiket penipuan ‘phone scam’.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, wanita berusia 62 tahun itu dijerat dengan dakwaan kononnya terlibat dalam kes tuntutan insurans palsu dan pengubahan wang haram.
Katanya, kejadian menimpa mangsa bermula pada 31 Januari lalu selepas menerima panggilan telefon daripada suspek menyamar sebagai ejen insurans.
“Mangsa diberitahu terdapat tuntutan insurans palsu berjumlah RM68,000 atas namanya.
“Mangsa menafikan kaitannya dengan kes itu dan panggilan disambungkan kepada seorang ‘pegawai polis’ dari Ampang Jaya untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan.
Yahaya berkata, suspek turut memaklumkan mangsa dikehendaki atas kes pengubahan wang haram.
“Mangsa diarahkan membuka beberapa akaun bank dan memindahkan semua wang simpanan, wang ganjaran pencen serta wang (pinjaman bank) ke akaun tersebut atas alasan untuk tujuan siasatan.
“Mangsa akur dengan arahan tersebut kerana bimbang berdepan tindakan undang-undang,” jelasnya.
Beliau berkata, dalam tempoh antara 20 Februari hingga 5 Mei lalu, mangsa melakukan sebanyak 24 transaksi pemindahan wang ke beberapa akaun berbeza, melibatkan jumlah keseluruhan RM216,067 sebelum menyedari dirinya ditipu.





