
KOTA KINABALU – Sabah bakal mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi pelancongan kesejahteraan menerusi penganjuran Persidangan dan Ekspo Antarabangsa Kesejahteraan Holistik Lestari (SWWICE) 2025 yang akan berlangsung pada 24 hingga 26 Jun ini.
Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Joniston Bangkuai, merangkap Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah berkata, acara ini selaras dengan matlamat untuk menjadikan Sabah sebagai destinasi pelancongan kesihatan terkemuka.
“Sabah memiliki segala-galanya, daripada keindahan semula jadi yang memukau, perkhidmatan kesihatan cemerlang dan hospitaliti yang hangat,” katanya yang akan menyempurnakan majlis perasmian persidangan tersebut.
Sementara itu, ekspo Gaya Hidup Sihat pada 27 hingga 29 Jun di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) serta program ‘Wellness Retreat’ dari 1 hingga 3 Julai.
Pengerusi Penganjur, Cleopatra Lajawai menyifatkan sokongan Joniston sebagai cerminan komitmen Kerajaan Negeri dalam membangunkan pelancongan kesejahteraan sebagai sektor pertumbuhan baharu.
” Penganjuran acara ini dijangka memperkukuh kedudukan Sabah sebagai destinasi utama pelancongan perubatan dan kesejahteraan dengan mengetengahkan keunikan alam semula jadi, layanan mesra serta perkhidmatan kesihatan bertaraf dunia.
“Antara satu tarikan utama SWWICE 2025 ialah pengisian kandungan daripada lebih 30 penceramah yang akan membincangkan kesejahteraan secara menyeluruh berpandukan rangka kerja 10 Rukun Kesejahteraan Holistik yang dibangunkan oleh pengasas program,” katanya dalam kenyataan media pada Khamis.
Pendaftaran masih dibuka kepada peserta tempatan dan antarabangsa yang berminat menyertai sesi ceramah, aktiviti interaktif serta rangkaian perbincangan yang memfokuskan kepada kelestarian dan pemulihan menyeluruh.




