
IPOH – Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin menasihatkan pemandu bas sewa khas yang membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan secara terbuka berhubung nahas tragik di Gerik, Isnin lalu, yang mengorbankan 15 nyawa.
Menurut beliau, kenyataan awal yang dikeluarkan berpotensi mencetuskan spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan sedang dijalankan pihak berkuasa.
“Kita hanya boleh menasihati pemandu tersebut agar tidak membuat kenyataan terbuka. Ini kerana kenyataan awal mungkin menimbulkan pelbagai spekulasi yang tidak wajar.
“Kami bimbang sebarang penjelasan yang diberikan boleh mengganggu proses siasatan. Justeru, adalah lebih baik beliau tunggu sehingga siasatan selesai.
“Walaupun ini negara bebas dan dia berhak bersuara, kami hanya boleh menasihati, bukan memaksa,” katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak pada Rabu.

Tambah Noor Hisam, beliau meminta pemandu terbabit supaya bersabar dan menunggu sehingga kenyataannya direkodkan secara rasmi oleh pihak polis.
“Selepas kenyataan rasmi dirakam, dia boleh memberikan penjelasan kerana siasatan ini merangkumi pelbagai sudut,” jelas beliau.
Menurutnya lagi, siasatan perlu mengambil kira pelbagai aspek termasuk keadaan fizikal bas, pengendali, serta keadaan jalan di lokasi kejadian.
“Ia merupakan satu siasatan yang sangat teknikal. Oleh itu, serahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan tugas mereka dan elakkan membuat sebarang kesimpulan terlalu awal.
“Pihak polis juga sentiasa berhubung dengan hospital serta pegawai penyiasat bagi mendapatkan perkembangan semasa mangsa yang terlibat.
“Sebaik sahaja maklumat diterima, kami akan memaklumkannya kepada media,” ujar beliau.
Dalam kejadian pada awal pagi Isnin lalu, seramai 15 pelajar UPSI terkorban manakala tujuh lagi cedera parah dalam satu nahas di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik.
Bas yang disewa khas oleh 42 pelajar itu dalam perjalanan dari Jertih, Terengganu ke Tanjung Malim, Perak, dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar bahagian belakang sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza yang dinaiki sepasang suami isteri bersama dua anak mereka.




