
KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan telah membatalkan serta-merta semua permit yang dimiliki oleh syarikat pengendali bas persiaran yang terlibat dalam kemalangan di Gerik, Perak, berikutan pelanggaran serius terhadap syarat-syarat permit yang ditetapkan.
Menterinya, Anthony Loke Siew Fook hari ini, menjelaskan bahawa syarikat tersebut telah melakukan dua kesalahan utama, iaitu memajak permit pengendalian bas kepada pihak ketiga dan gagal mengaktifkan sistem pengesanan global (GPS) pada kenderaan yang dikendalikan.
“Pemilik syarikat beralamat di Kedah telah memajak permit kepada pengendali di Kelantan dengan bayaran sebanyak RM500 sebulan. Tindakan ini jelas melanggar syarat permit yang telah ditetapkan.
“Lebih membimbangkan, apabila diminta untuk mengemukakan laporan pergerakan kenderaan melalui GPS, pihak syarikat gagal berbuat demikian kerana sistem GPS tidak diaktifkan langsung,” katanya dalam satu sidang media mingguan di ibu negara, pada Rabu.
Loke turut menegaskan bahawa tiada sebarang rayuan akan dipertimbangkan berhubung keputusan ini, dan pembatalan permit adalah muktamad serta kekal.
Beliau berkata, langkah tegas ini diambil sebagai amaran kepada semua pengendali bas agar mematuhi peraturan dan piawaian keselamatan yang telah ditetapkan demi menjaga keselamatan penumpang serta pengguna jalan raya.
Terdahulu, seramai 15 pelajar UPSI meninggal dunia, manakala tujuh cedera parah selepas bas dinaiki mereka terbalik dalam kemalangan jam 1.15 pagi di Kilometer 53 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, dekat Gerik, Perak.
Bas membawa 42 pelajar universiti itu dalam perjalanan dari Jertih, Terengganu, dikatakan hilang kawalan sebelum melanggar Perodua Alza dan terbalik.




