
KUCHING – Kerajaan Sarawak memperkenalkan model pertanian mampan berasaskan ekonomi pusingan bagi mengurangkan kebergantungan kepada import lembu dan makanan ternakan, susulan harga daging lembu di negeri ini yang kini tertinggi di Malaysia, mencecah RM95 sekilogram.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kebergantungan kepada bekalan luar negara, khususnya dari Australia, menjadi punca utama kenaikan harga.
“Kita bukan sahaja import daging, malah menternak lembu menerusi SEDC di Australia. Tetapi cukai eksport yang tinggi dan bayaran dalam mata wang dolar Australia telah melonjakkan kos,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Ibadah Korban di Masjid Al-Kawthar, Gedong pada Ahad.
Menurut beliau, kerajaan Sarawak kini beralih kepada pendekatan baharu dengan menggunakan sisa pertanian seperti daripada ladang kelapa sawit untuk menghasilkan makanan ternakan tempatan.
“Saya sendiri ke Lubok Antu dan lihat potensi sisa ladang dijadikan biojisim untuk makanan haiwan. Apabila kita hasilkan sendiri, kita tidak perlu lagi import,” katanya.
Sebagai langkah jangka panjang, kerajaan negeri turut melaksanakan sistem penternakan fidlot tertutup, menggantikan kaedah ragut terbuka secara tradisional.
“Rumput Napier yang dicampur dengan sisa pertanian bernutrien tinggi mampu menghasilkan makanan ternakan yang lebih berkualiti dan murah,” jelasnya.
Model pertanian moden itu kini dalam peringkat pelaksanaan oleh agensi berkaitan dan dijangka meningkatkan bekalan daging tempatan serta menurunkan harga pasaran kepada tahap yang lebih mampu milik.
Berdasarkan laman sesawang Manamurah.com, harga purata daging lembu di Sarawak ialah RM64 sekilogram, jauh lebih tinggi berbanding Kelantan (RM27.72), Perlis (RM30), Terengganu (RM30.29) dan Sabah (RM35).
Abang Johari turut menegaskan dasar pertanian baharu ini bukan sahaja menyentuh soal bekalan makanan, malah membuka peluang ekonomi kepada penduduk luar bandar.
“Sarawak mempunyai 38 kilang kelapa sawit yang boleh dimanfaatkan untuk hasilkan biofeed, biogas dan baja organik. Jangan bazirkan sisa, jadikan ia sumber pendapatan,” tegasnya.
Sementara itu, sebanyak 24 ekor lembu korban diagihkan kepada penduduk sekitar Gedong sempena sambutan Aidiladha, melibatkan 13 ekor sumbangan Premier Sarawak menerusi LAKIG, enam ekor daripada Parlimen Batang Sadong dan lima ekor daripada LAKIS Samarahan.
Foto: Jabatan Penerangan Negeri Sarawak



