
LAHAD DATU – Masyarakat Lahad Datu menjadi asas kukuh dalam memperteguhkan perpaduan dan cerminan kepelbagaian kaum serta budaya di negeri ini.
Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Seri Yong Teck Lee berkata, Lahad Datu menjadi contoh terbaik masyarakat majmuk yang hidup dalam keadaan harmoni termasuk dalam kalangan komuniti Hindu India.
“Terdapat nilai budaya yang sangat signifikan terutamanya bagi keluarga Hindu India yang telah lama menetap di daerah ini.
“Oleh itu, keharmonian antara kaum dapat dikekalkan demi masa depan yang lebih bersatu padu,” katanya kepada media selepas merasmikan Kuil Sri Maha Mariamman Kovil, di Lahad Datu.

Difahamkan, Kuil Sri Maha Mariamman berkenaan merupakan kuil pertama komuniti Hindu India di Lahad Datu.
Yong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik itu turut menyatakan kehadiran ke kuil sebagai tanda sokongan dan solidariti terhadap komuniti tersebut.
“Kami berada di sini untuk menunjukkan sokongan kami dan sangat gembira melihat perkara yang semakin berkembang dan menyatukan masyarakat.
“Yang penting ialah kasih sayang dan persefahaman. Kita semua harus saling mencintai dan menghargai antara satu sama lain,” tambahnya.








