
KUDAT – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kudat menahan dua bot nelayan jenis pukat tunda kerana menjalankan aktiviti penangkapan ikan kurang dari tiga batu nautika dari pantai di sini pada Sabtu.
Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Hasbullah Omar berkata, bot tersebut ditahan sekitar pukul 6.30 petang hasil maklumat yang diperoleh daripada Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Sabah di kedudukan kira-kira 2.6 batu nautika timur laut muara Marina.
“Bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan rondaan menerusi Op Sejahtera, Op Pluto Timur, Op Cegah PATI dan Op Tiris segera digerakkan ke lokasi sasaran.
“Ketika tiba, bot terbabit didapati sedang menarik pukat pada jarak yang dilarang iaitu kurang tiga batu nautika dari pantai,” katanya.
Menurut Hasbullah, pemeriksaan lanjut mendapati enam individu berada di atas bot, termasuk tekong, dua daripadanya merupakan warganegara tempatan dan empat lagi adalah warga Indonesia.
“Kesemua mereka memiliki dokumen pengenalan diri yang sah,” jelasnya dalam kenyataan media pada Ahad.

Sementara itu, terdahulu, sebuah lagi bot nelayan turut ditahan di lokasi kira-kira 2.2 batu nautika timur perairan Tagumamal sekitar pukul 7 petang, juga hasil maklumat daripada sistem SWASLA.
Menurutnya, bot terbabit dilaporkan membawa sembilan kru, termasuk seorang warga Filipina yang didapati mempunyai dokumen pengenalan diri yang meragukan.
“Keseluruhannya, Maritim Malaysia berjaya merampas lebih 1.5 tan ikan pelbagai jenis dan 2 tan ikan baja hasil daripada kedua-dua penahanan.
“Semua suspek termasuk bot dan hasil rampasan, telah dibawa ke jeti Zon Maritim Kudat dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut,” katanya.
Tambah Hasbullah, kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen penangkapan ikan serta Akta Imigresen 1959/63 kerana pemilikan dokumen yang mencurigakan.
Tegas beliau, Maritim Malaysia akan terus memperketatkan rondaan dan pemantauan di seluruh perairan Sabah bagi membanteras aktiviti penangkapan ikan secara haram yang bukan sahaja melanggar undang-undang, malah menjejaskan sumber laut negara.
Sehubungan itu, Hasbullah menyeru orang ramai agar menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan di laut melalui Pusat Operasi Maritim Kudat di talian 088-611858 atau talian kecemasan 999, yang beroperasi 24 jam.






