Akaun bank Bersatu berjumlah RM195 juta kekal dibekukan

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur baru-baru ini, memutuskan bahawa akaun bank milik BERSATU yang mempunyai RM195 juta akan terus dibekukan sementara menunggu keputusan dua permohonan semakan kehakiman dan prosiding jenayah berkaitan.

Pesuruhjaya Kehakiman, Gan Techiong, membuat keputusan itu selepas CIMB Bank memohon pengisytiharan mahkamah sama ada ia perlu mengekalkan pembekuan akaun berkenaan atau mengeluarkan dana itu susulan arahan bercanggah daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Setiausaha Eksekutif BERSATU, Datuk Muhammad Suhaimi Yahya.

Bank itu memfailkan permohonan ‘interpleader’ selepas menerima surat tuntutan daripada Muhammad Suhaimi memohon pelepasan dana terbabit yang dimasukkan ke dalam akaun parti oleh Bukhary Equity Sdn Bhd.

CIMB selaku plaintif tunggal, menamakan SPRM, pendakwa raya dan Muhammad Suhaimi sebagai defendan.

Techiong berkata, pertikaian itu tidak dapat diselesaikan dengan mudah kerana isu dibangkitkan sudah menjadi subjek prosiding semakan kehakiman yang belum selesai dan perbicaraan jenayah membabitkan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Bersatu.

“Pertikaian antara defendan tidak sesuai untuk ditentukan secara ringkas oleh mahkamah ini dalam mendengar ‘interpleader’ bank.

“Itu adalah persoalan undang-undang serta fakta yang dipertikaikan membentuk perkara permohonan semakan kehakiman di Bahagian Kuasa Khas mahkamah ini dan pendakwaan jenayah yang disebut di atas di Mahkamah Sesyen, semuanya masih menunggu perbicaraan dan perbicaraan masing-masing.

“Jika mahkamah ini menyelidik lebih mendalam, kesannya akan merampas domain mahkamah lain yang sepatutnya membuat penentuan muktamad mengenai pelbagai isu yang lebih luas,” katanya dalam penghakiman bertarikh 9 April lalu.

Sementara itu, Techiong berkata, Muhyiddin telah didakwa pada Mac 2023 atas kapasitinya sebagai Presiden Bersatu berhubung dana didakwa diterima parti itu, yang memenuhi keperluan bawah Seksyen 52A Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA) untuk mengekalkan perintah rampasan akaun terbabit.

Beliau berkata, Bersatu tidak dilindungi undang-undang berasingan, kerana undang-undang membenarkan pertuduhan dikenakan terhadap pemegang jawatannya.
Dalam kes berkenaan, mahkamah berkata, presiden (Muhyiddin) didakwa berhubung dana terbabit.

Mahkamah juga menolak afidavit setebal 376 muka surat yang difailkan oleh peguam Suhaimi, dengan menyatakan ia tidak boleh diterima kerana difailkan tanpa kebenaran mahkamah dan pada peringkat prosiding yang sangat lewat.

“Afidavit yang begitu panjang telah difailkan pada saat akhir, menguatkan pandangan saya bahawa perkara itu tidak sesuai untuk ditentukan secara ringkas dalam ‘interpleader’ ini,” katanya.

Techiong kemudian memerintahkan CIMB untuk terus membekukan dana itu hingga Bahagian Kuasa Khas Mahkamah Tinggi melupuskan permohonan semakan kehakiman yang difailkan oleh Muhyiddin dan Suhaimi, yang masih belum selesai.

Semakan kehakiman pertama mencabar kesahihan perintah pembekuan dikeluarkan oleh SPRM pada Januari 2023, manakala yang kedua pula bertujuan membatalkan perintah rampasan yang dikeluarkan oleh pendakwa raya pada April tahun sama.

Muhyiddin menghadapi empat pertuduhan mengikut Akta SPRM dan dua bawah AMLA, membabitkan sejumlah RM200 juta termasuk RM195 juta yang didakwa dipindahkan ke dalam akaun BERSATU yang dipegang dengan CIMB Islamic Bank.

Peguam, Sathya Kumardas dan Daud Sulaiman, mewakili CIMB, manakala Peguam Kanan Persekutuan, Nurhafizza Azizan, serta Peguam Persekutuan, Mohammad Salehuddin Md Ali mewakili SPRM dan pendakwa raya manakala Bersatu diwakili peguam, Chethan Jethwani dan Tang Jia Yearn.

Related Posts

Radzi, Azmin digugurkan jawatan utama PN serta-merta

KUALA LUMPUR – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar mengumumkan pengguguran Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali daripada jawatan utama dalam…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Krisis PN dijangka berpanjangan, risiko libatkan ROS dan mahkamah jika tiada kata sepakat

KRISIS dalaman yang melanda Perikatan Nasional (PN) dijangka tidak akan berakhir dalam masa terdekat sekiranya PAS dan Bersatu gagal mencapai penyelesaian yang memuaskan kedua-dua pihak, kata Ketua Penyelidik Ilham Centre,…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

KOPEKS perluas peranan dalam pelbagai sektor, bantu tingkat akses kesihatan rakyat

KOPEKS perluas peranan dalam pelbagai sektor, bantu tingkat akses kesihatan rakyat

Mukah jadi tuan rumah Program Bakti Belia MADANI 2026

Mukah jadi tuan rumah Program Bakti Belia MADANI 2026

Polis tahan ejen loteri awam haram di Roban

Polis tahan ejen loteri awam haram di Roban

Keperluan naik taraf kompleks, kemudahan sukan diteliti – Nizam

Keperluan naik taraf kompleks, kemudahan sukan diteliti – Nizam

STPM 2025: Fokus kelas, aktif bersukan rahsia Danish Akhtar raih 4.00

STPM 2025: Fokus kelas, aktif bersukan rahsia Danish Akhtar raih 4.00

STPM 2025: PNGK Sarawak meningkat 2.75, 115 pelajar raih 4.00

STPM 2025: PNGK Sarawak meningkat 2.75, 115 pelajar raih 4.00