ISKANDAR PUTERI – Kerajaan Johor terus memelihara kebajikan rakyat negeri termasuklah usaha menyediakan kediaman dengan harga mampu milik.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, beberapa unit kediaman berkualiti berharga antara RM250,000 hingga RM500,000 akan dijual dengan harga lebih rendah melalui potongan subsidi sehingga RM250,000.
“Menerusi inisiatif ini, setiap unit Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) dijual pada harga RM150,000 apabila siap dalam tempoh dua tahun berbanding nilai sebenar antara RM250,000 hingga RM300,000.
“Perbezaan kos ditampung melalui subsidi Kerajaan Negeri dan konsep subsidi silang oleh pemaju. Bagi kediaman jenis ‘landed’ pula kita tawarkan pada harga RM150,000 walaupun nilai pasaran mencecah RM300,000.
“Manakala unit seluas 1,000 kaki persegi dijual sekitar RM250,000 berbanding nilai semasa iaitu RM500,000,” katanya dalam hantaran di Facebook beliau, baru-baru ini.
Menurut beliau, model pembinaan RMMJ menggunakan tanah kerajaan yang diserahkan semula oleh pemaju untuk dibangunkan kontraktor, agensi kerajaan atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tanpa melibatkan kos tanah seterusnya membantu mengurangkan kos keseluruhan projek.
“Antara contoh kejayaan model itu adalah projek Perumahan Iskandar Puteri Bangsa Johor (PIBJ) terletak dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
“Pemaju pula melaksanakan projek pasaran bebas di kawasan sama dengan sebahagian daripada keuntungannya disalurkan untuk membiayai pembangunan RMMJ.
“Ini menjadikan mekanisme subsidi silang itu asas kepada penyediaan kediaman benar-benar mampu dimiliki oleh rakyat,” katanya.
Dalam perkembangan sama kata beliau, Kerajaan Johor turut mengingatkan orang ramai agar berwaspada kerana tiada ejen perumahan dilantik untuk menguruskan permohonan RMMJ dan segala maklumat rasmi hanya boleh diakses melalui sistem dalam talian e-Rumah Johor di laman sesawang https://erumah.johor.gov.my.






