PUTRAJAYA – Keputusan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz meninggalkan UMNO tidak perlu dikesali sebaliknya dijadikan ikhtibar kepada parti tersebut.
Ketua UMNO Bahagian Kluang, Datuk Md Jais Sarday berkata, langkah Tengku Zafrul itu perlu dijadikan pengajaran terutama apabila melantik seorang tokoh korporat dan terus diberikan jawatan penting dalam parti.
Beliau turut mendakwa tidak mustahil terdapat dalang di sebalik tindakan Tengku Zafrul itu yang sudah dirancang lebih awal.
“Memberi gambaran jelas bahawa langkah ini bukan dibuat secara spontan, tetapi telah dirancang lebih awal. Malah, tidak mustahil terdapat ‘sutradara’ di sebalik keputusan politik ini. Biarlah Tengku Zafrul terus melangkah dan dipertimbang keanggotaan dalam PKR. Bagi kita di UMNO, barang yang lepas jangan dikenang, namun pengajarannya perlu dimanfaatkan.
“Apakah pengajarannya kepada kita, Orang UMNO? Pertama, jangan ulangi keghairahan melantik tokoh korporat atau teknokrat dalam hierarki parti tanpa melalui proses. Mereka mungkin mempunyai kemahiran teknikal dan imej yang baik, tetapi belum tentu memahami denyut nadi perjuangan UMNO.
“Kedua, berikan kepercayaan dan peluang kepada tokoh profesional yang telah melalui proses parti, yang sudah lama berjuang bersama UMNO walaupun tidak begitu dikenali. Kesetiaan dan kefahaman terhadap asas perjuangan parti lebih penting daripada nama besar atau profil korporat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz meletakkan jawatan sebagai Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Ketua UMNO Bahagian Kota Raja dan ahli UMNO.
Pengumuman tersebut menamatkan penyertaan beliau dalam parti berkenaan sejak 1997 dan surat perletakan jawatan sudah diserahkan kepada parti semalam.
Mengulas lanjut, Md Jais berkata, Tengku Zafrul adalah seorang tokoh korporat yang dilantik menjadi menteri semasa pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada 2020.
Jelas bekas Ketua Penerangan UMNO Johor itu, pelantikannya sebagai menteri mewakili kuota UMNO dan pada ketika itu tidak dibincang secara terperinci dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Pelantikan itu berbeza dengan tokoh-tokoh teknokrat yang dilantik UMNO sebelum ini untuk membantu kerajaan antaranya antaranyaTan Sri Nor Mohamed Yakcop yang menjadi Penasihat Bank Negara, Tan Sri Idris Jala (Ketua Pegawai Eksekutif MAS dan Shell) dan Tan Sri Abdul Wahid Omar (bekas Ketua Pegawai Eksekutif Maybank).
“Namun berbeza dengan Tengku Zafrul, ketiga-tiga tokoh ini tidak mencampuri urusan parti. Mereka hanya fokus kepada peranan dan tanggungjawab dalam kerajaan, walaupun ada usaha untuk membawa mereka ke dalam kepimpinan parti.
“Tengku Zafrul pula telah meletakkan dirinya dalam struktur hierarki UMNO, memegang jawatan penting dalam parti tanpa melalui proses biasa yang dilalui oleh ahli lain. Justeru tindakannya meninggalkan parti menimbulkan persoalan terhadap ketulenan komitmen beliau terhadap perjuangan UMNO,” katanya.
Dalam pada itu, Md Jais berkata, UMNO adalah parti perjuangan, lahir daripada semangat kebangsaan untuk memelihara agama Islam, bangsa Melayu, kedudukan Raja-Raja Melayu dan kedaulatan Tanah Melayu.
“Parti perjuangan ini tidak boleh dikorporatkan. Namun, sekiranya ada usaha membawa masuk tokoh profesional dari luar, mereka mestilah menepati nilai, semangat dan disiplin perjuangan parti, bukan sekadar tampil dengan reputasi di luar yang cemerlang,” katanya.









