
KIRA-KIRA 90 peratus keluarga di Semenanjung Gaza kini mengalami kekurangan air yang sangat kritikal akibat kerosakan besar terhadap infrastruktur ketika serangan ketenteraan berlanjutan ke hari ke-583.
Menurut sumber perubatan, lebih 25 peratus sampel air yang diuji telah didapati tercemar, yang telah menyumbang kepada penularan pelbagai jenis penyakit dalam kalangan penduduk, lapor WAFA.
Dengan ketibaan musim panas dan peningkatan suhu, permintaan terhadap air khususnya air minuman menyebabkan situasi sekarang semakin mendesak. Penduduk yang berlindung di kawasan-kawasan penempatan sementara kini berdepan keadaan yang amat teruk akibat kekurangan sumber air bersih.
Keadaan menjadi lebih membimbangkan apabila 90 peratus loji penyahgaraman air tidak lagi beroperasi, dan lubang najis terbuka yang digunakan telah meningkatkan risiko pencemaran terhadap air bawah tanah.
Dalam masa yang sama, sebanyak 80 peratus loji rawatan kumbahan juga tidak berfungsi yang menyebabkan kadar pencemaran air laut meningkat secara mendadak.









